arena

Hikmah tertangguh

Oleh Aida Adilah Mat

PENANGGUHAN temasya Olimpik Tokyo yang ditunda setahun lagi adalah satu hikmah buat atlet karate negara, S Prem Kumar dalam mempersiapkan diri untuk melayakkan diri ke temasya terbesar itu.

Bagaimanapun, Prem terlebih dahulu perlu menaikkan berat badannya sebanyak 13 kilogram (kg) lagi bagi membolehkan dia beraksi dalam kategori bawah 67kg di kejohanan kelayakan di Paris nanti.

Malah pemenang pingat emas Sukan Sea Filipina itu berkata, dia akan memberi yang terbaik pada pusingan kelayakan untuk merebut empat tempat yang ditawarkan.

Ini kerana Olimpik Tokyo peluang pertama dan terakhir buat atlet karate seluruh dunia untuk beraksi di temasya terbesar itu selepas penganjur Olimpik 2024 di Paris memutuskan untuk menggugurkan acara berkenaan.

Justeru, Prem berkata, dia akan berusaha sedaya upaya untuk cuba melayakkan diri ke Olimpik dan kini giat menjalani latihan dua kali sehari biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Sebelum ini di Sukan Sea yang lalu saya beraksi dalam kategori 55kg tapi untuk ke Olimpik saya akan beraksi untuk kategori bawah 67kg. Cabarannya sekarang untuk menaikkan berat badan terlebih dahulu.

“Jadi bila Olimpik tangguh, saya mempunyai banyak masa untuk mempersiapkan diri dalam kategori baru itu,” katanya.

Mengulas mengenai peluangnya ke Olimpik, pemenang pingat emas Sukan Sea Filipina itu berkata, ia tidaklah sukar tapi juga tidak mudah.

“Karate kali pertama dipertandingkan di Olimpik, jadi semua atlet akan berusaha untuk beraksi di sana. Tapi saya ada pengalaman beraksi bawah kategori bawah 60kg sebelum ini dan pernah juga berlatih bersama atlet handalan dari Azerbaijan ketika menjalani latihan pusat Februari lalu di sana dan diharapkan akan dapat membantu skuad karate negara memburu tempat ke Olimpik,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad memaklumkan, Makaf akan menghantar seramai enam atlet untuk beraksi di kejohanan kelayakan di Paris.

Mereka terdiri daripada R Sharmendran bagi kategori bawah 75, Prem (-67kg), P Madhuri (-55kg), M Mathivani (-61kg) manakala Ooi San Hong dan Celine Lee Xin Yi dalam kata.

Bagaimanapun hingga kini masih belum ada tarikh rasmi kejohanan berkenaan selepas kejohanan yang sepatutnya berlangsung Mei ini terpaksa ditunda akibat penularan wabak Covid-19.

Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 7:00am
d