arena

Sociedad batal hasrat kembali berlatih

Oleh AFP

KELAB La Liga Sepanyol, Real Sociedad berkata mereka menangguhkan hasrat untuk kembali menjalani latihan bermula esok selepas perbincangan bersama pegawai kerajaan.

Seperti kelab lain, pemain Sociedad turut menjalani perintah berkurung sejak pertengahan Mac lalu berikutan wabak Covid-19 yang meragut hampir 17,000 nyawa di negara itu.

“Selepas berbincang dengan wakil pegawai pihak berkuasa tempatan hari ini (semalam), kami mengambil keputusan untuk pemain meneruskan latihan secara individu seperti mana yang dilakukan sebelum ini.

“Disebabkan itu, pemain akan meneruskan latihan di rumah,” kata kenyataan dikeluarkan Sociedad.

Sociedad menduduki tangga keempat liga sebelum ia ditangguhkan menegaskan mereka tidak pernah berniat untuk menyambung latihan secara berkumpulan tetapi hanya untuk berlatih secara individu di pusat latihan kelab itu.

Kelab akan berusaha untuk kembali mengadakan latihan seperti biasa namun ia hanya akan dilakukan dengan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 9:27am
d