arena

Rafael harap Liverpool tak juarai EPL

Oleh Agensi

BEKAS bintang Manchester United, Rafael berharap Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dibatalkan supaya Liverpool tidak dapat muncul juara.

Skuad kendalian Jurgen Klopp masih ternanti-nanti jawapan yang belum pasti jika kempen bersambung selepas ia diganggu berikutan krisis Covid-19.

Liverpool mendahului selesa 25 mata di puncak liga dan dijangka menjulang trofi Liga Perdana yang dinantikan sekian lama pada musim panas ini.

Ketua bola sepak ketika ini berebut untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan menamatkan musim, ketika Euro 2020 ditangguhkan kepada setahun bagi memastikan keadaan kembali pulih seperti normal.

Bagaimanapun, ada kemungkinan keseluruhan musim bola sepak Inggeris itu dibatalkan.

Pembatalan musim dan menafikan saingan perlawanan mungkin bermakna Liverpool harus menunggu kejuaraan Liga Perdana pada kempen berikutnya.

Pemain pertahan kanan Brazil dan Lyon, Rafael, yang memenangi kejuaraan liga Inggeris itu sebanyak tiga kali ketika bersama United selama tujuh tahun berharap musim ini tidak bersambung menyebabkan Liverpool terpaksa menunggu sehingga sekurang-kurangnya setahun lagi untuk mengakhiri kemarau kejuaraan EPL itu.

Rafael memberitahu kepada laman rasmi United : “Saya sering berkata demikian apabila memenangi kejuaraan ke 18 dan mengatasi Liverpool.

“Semua orang bercakap mengenai ‘hentikan kejohanan’, tidak? Mereka tidak mencapai kepada 20!

“Ia mungkin sukar buat mereka (jika musim ini dibatalkan) tetapi baik untuk kita.”

Seorang bintang Liverpool yang sudah bersedia menerima sebarang kemungkinan adalah Sadio Mane.

Mane menjelaskan : “Ia amat sukar buat Liverpool tapi ia lebih sukar diterima bagi jutaan peminat di seluruh dunia.

“Sebahagian individu kehilangan anggota keluarga, ia situasi yang lebih sukar.

“Bagi saya, ini adalah impian saya dan saya mahu menang pada tahun ini. Saya mahu menang perlawanan dan merangkul trofi.

“Jika ia tidak terjadi, saya harus menerimanya, ia sebahagian daripada kehidupan.

“Dalam situasi ketika ini apa sekalipun berlaku saya akan memahaminya dan berharap kami akan menang pada tahun depan.”

Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 12:05pm
d