arena

Pelayar 'Ganu' mahu dominasi Sukma Johor

Oleh Malik Muhamad

PERSATUAN Pelayaran Terengganu (TESA) tekad mahu terus mendominasi sukan air itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor yang belum ditetapkan tarikh baharu.

Jurulatihnya, Ku Anas Ku Zamil akui dengan keupayaan atlet dan beliau berkeyakinan kontinjen Terengganu sekali lagi mampu muncul juara keseluruhan dalam sukan pelayaran itu sebagaimana yang dibuktikan dalam edisi ke-19 di Perak pada 2018.

Pada edisi ke-18 di Sarawak, kontinjen Terengganu hanya berjaya meraih empat emas dan masing-masing satu perak serta gangsa.

“Sasaran dalam temasya sukan dwitahunan di Johor itu nanti kita mahu mengutip sembilan pingat emas dalam kategori ‘winddurfing’, ‘int 420’ dan ‘laser’ berbanding pencapaian terbaik dengn meraih lapan emas dan tiga perak pada 2018.

“Bagi memastikan impian kami tercapai, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kami ada buat pautan latihan harian yang dihantar kepada setiap atlet dan daripada situ mereka perlu mengisi ikut latihan iaitu dengan memasukkan masa, latihan yang dibuat, kadar nadi latihan selain atlet juga perlu menghantar video latihan.

“Dengan kaedah berkenaan, kami dapat memantau tahap kecergasan atlet walaupun mereka tidak dapat meneruskan latihan seperti sebelum ini.

“Selain itu kontinjen kami juga mempunyai tiga pelayar kebangsaan iaitu gandingan adik-beradik Muhammad Idris dan Umar Al-Farouk Mohd Zahawi serta atlet wanita, Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen.

“Sasaran emas juga turut disandarkan kepada Ilham Wahab, Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman, Muhammad Luqman Hakim Mansor, Ali Saferes Azmi, Ikrami Hakimi Markham, Muhammad Khaidir Mohd Zahawi dan atlet adik-beradik, Al Yuna Akma dan Al-Insyirah Aina Zulkifeli,” ujarnya.

Beliau berkata, sentuhan daripada barisan jurulatih berpengalaman yang terdiri daripada Abdul Rani Idris, Hamdan Mohd Rozi, Mohd Saifullah Mohd Esa, Tengku Khairudeen Tengku Mohamed, Mohd Sollehudin Ismail selain beliau sendiri, turut menjadi ‘senjata’ kekuatan kontinjen Terengganu.

”Kami percaya sepanjang tempoh PKP ini, atlet mampu mengekalkan tahap kecergasan serta berdisiplin bagi memastikan mereka berada pada tahap yang terbaik bagi memastikan misi kita tercapai dalam Sukma itu nanti,” ujarnya.

Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 7:46pm
d