arena

Hubungan Neuer, Bayern berantakan

Oleh AFP

CHELSEA dan Manchester City dilaporkan berminat untuk mendapatkan ketua pasukan Jerman, selepas perbincangan kontrak barunya bersama Bayern Munich terhenti, jelas majalah, Kicker.

Kontrak semasa penjaga gol itu berakhir pada Jun 2021 namun Neuer, 34, dikatakan berang apabila butiran perbincangan baru terlepas ke pengetahuan media Jerman.

Akhbar harian no.1 Jerman, Bild mendakwa ejen Neuer, Thomas Kroth meminta Bayern membayar gaji anak buahnya sebanyak 22 juta euro (RM104 juta) untuk semusim.

Jika perbincangan itu gagal, Neuer bebas untuk meninggalkan Bayern Jun depan dan menarik minat beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketua wartawan Kicker, Karlheinz Wild, peluang untuk menyambung semula perbincangan antara Bayern dan Neuer sangat tipis.

“Perkara ini mungkin memakan masa sehingga seminggu, sebulan atau sebelum hari terakhir jendela perpindahan. Keadaan sekarang ini bertambah buruk,” katanya.

Menurut Bild, Neuer mahu kontraknya dilanjutkan sehingga 2025 namun Bayern hanya bersedia menawarkan sehingga 2023, di mana dia akan berusia 37 tahun.

Butiran mengenai permintaan Neuer yang tersebar kepada media, seterusya memburukkan keadaan mengenai ketelusan antara kelab dan pemain.

Neuer yang membantu Jerman muncul juara Piala Dunia 2014, dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik dunia sebanyak empat kali.

Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 10:43pm
d