arena

Jaga jarak sosial seperti saya - Bolt

Oleh AFP

LEGENDA olahraga, Usain Bolt menunjukkan dia masih lagi beberapa langkah meninggalkan orang lain apabila memuatnaik gambar AFP yang mempunyai maksud tersirat tatkala dunia berdepan pandemik Covid-19.

Gambar berkenaan ialah ketika dia meraih emas di Sukan Olimpik Beijing dengan jauh meninggalkan pencabar lain dan paling menarik kapsyen yang digunakan di laman sosialnya ialah: ‘penjarakkan sosial’.

Tindakan Bolt memuatnaik gambar yang dirakamkan oleh jurugambar AFP, Nicolas Asfouri itu pada saingan akhir 100meter (m) menjadi tular di media sosial.

Lebih 500,000 orang memberi tanda suka dan 90,000 melakukan twit semula ke atas gambar berkenaan.

Pada saingan akhir di Stadium Sarang Burung itu, Bolt yang juga bekas atlet kelahiran Jamaica berjaya mencatatkan rekod baru dunia 9.69saat (s) selepas memecut laju di lorong empat tatkala pesaingnya ketinggalan dua langkah di belakang.

“Ganas,” komen salah seorang pengguna Twitter, manakala wartawan New York Times, Christopher Clarey pula memuatnaik satu lagi gambar Bolt dengan meletakkan kapsyen, ‘pengasingan diri’.

Kehebatan Bolt di Beijing ditambahkan lagi dengan satu catatan rekod dunia baru dalam acara 200m.

Dia kemudian bersara pada 2017 dengan meraih lapan emas Olimpik dan masih lagi memegang rekod dunia 100m, 9.58s yang dicatatkannya pada 2009.

Bolt, 33, juga sentiasa menyeru penduduk negaranya melakukan pengasingan diri ketika pandemik Covid-19, apabila berkongsi video dia bersenam di rumah dan menimang bola bersama rakannya.

Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 11:22pm
d