arena

Mat Yo komited jalani latihan

Oleh Firdaus Hashim

ATAS semangat bola sepak dan menghormati kontrak bersama kelab BG Pathum United, Norshahrul Idlan Talaha tetap komited turun menjalani latihan meskipun dia kini berdepan masalah membabitkan dokumentasi dengan pasukan dan ejen.

Menurut Norshahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo itu, dia bersama keluarga masih berada di Thailand dan sibuk menjalani rutin harian selaku pemain bola sepak di negara Gajah Perang itu.

Malah, dia turut menafikan dakwaan yang keluarganya dihalang pulang ke Malaysia susulan isu dokumentasi dengan ejen.

“Pertama sekali, saya dan keluarga kini berada di Thailand kerana saya perlu memberikan komitmen kepada kelab BG Pathum United untuk menghadiri latihan dan melakukan persiapan selaku pemain bola sepak seperti biasa.

“Tambahan lagi, sepertimana kita semua sedar, akibat wabak Covid-19, kita semua terhalang dan terbatas untuk meninggalkan tempat atau kawasan sedia ada.

“Jadi tiada alasan untuk saya dan keluarga meninggalkan Thailand mengambil kira dua perkara di atas,” katanya di laman Instagram miliknya, semalam.

Sebelum ini, Norshahrul berdepan masalah membabitkan dokumentasi dengan ejennya, Abdul Halim Abdul Shukor yang kini menghilangkan diri dan mengakibatkan dia tidak dapat menyelesaikan beberapa isu dengan majikannya.

Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia menghulurkan bantuan dalam menyelesaikan kemelut yang kini dihadapi Norshahrul di sana.

Jelas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, beliau ada berhubung dengan pemenang tiga kali berturut-turut Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga-M dari 2010-2012 itu dan bersedia membantu dari segi nasihat dan pertolongan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dengan pengurusan kelabnya.

Ujar Stuart lagi, begitupun buat sementara waktu, bekas pemain Kelantan dan JDT itu mahu menyelesaikan sendiri dengan ejennya terlebih dulu dan sedang berusaha mengesan ejen berkenaan.

Berita berkaitan

FAM sedia bantu Matyo

Mat Yo kecewa ejen 'ghaib'

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 7:40am
d