arena

Tour de France dapat tarikh baharu

Oleh AFP

PIHAK penganjur Tour de France sedang bekerja keras mendapatkan tarikh baharu bagi kejohanan berbasikal terbesar dunia itu selepas perhimpunan awam berskala besar tidak dibenarkan untuk dilangsungkan sehingga pertengahan Julai berikutan pandemik Covid-19.

Dijadual berlangsung di Nice dari 27 Jun dan berakhir di Paris pada 19 Julai, tidak mungkin kejohanan itu dapat dilangsungkan pada tarikh berkenaan dan penganjur kini berdepan tugas untuk penjadualan semula perlumbaan itu.

Laporan akhbar tempatan, Dauphine berkata, perlumbaan itu akan bermula pada 27 Ogos dan bakal berakhir 20 September.

Pihak penganjur, ASO tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan tarikh baharu itu tetapi beberapa datuk bandar sekitar Perancis serta pihak yang bertanggungjawab terhadap laluan jelajah itu berkata, mereka sudah pun dimakumkan berhubung tarikh baharu itu.

Pengarah kejohanan, Christian Prudhomme berkata, peserta memerlukan dua bulan selepas perintah berkurung untuk melakukan persediaan bagi perlumbaan itu.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Christophe Castaner berkata, ASO perlu mencari tarikh baharu atau membatalkan perlumbaan itu.

“Terpulang kepada pihak penganjur untuk menganalisa sama ada dapat menganjurkannya dan kemudian menjadualkan semula perlumbaan itu,” katanya ketika ditemuramah di radio.

Perlumbaan itu membabitkan jarak lebih 3,000km dan kira-kira 500,000 peminat akan menyaksikan perlumbaan itu di bahu jalan pada setiap hari.

Cadangan perlumbaan itu dilangsungkan tanpa peminat sudah pun ditolak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 8:18am
    d