arena

Petinju ubah 'uniform' ke jururawat

Oleh Agensi

KIM Clavel menggantung seketika sarung tangan tinjunya untuk bersama-sama memerangi pandemik Covid-19.

Petinju berusia 29 tahun itu bertukar profesion kepada jururawat di negara kelahirannya, Kanada ketika dunia terus berdepan wabak itu.

Berasal dari Montreal, Clavel berkata dia tidak takut untuk menyertai barisan hadapan dan mengambil keputusan melakukan tugas itu bagi melakukan perubahan dalam kehidupannya.

Bercakap kepada media tempatan, Clavel yang tidak pernah tewas dan pemenang kategori flyweight Persekutuan Tinju Amerika Utara berkata: “Daripada perspektif psikologi agak sukar. Golongan orang tua nampak bersendirian dan sedih.

“Ada antara mereka tidak faham mengenai situasi Covid-19, jadi mereka tidak mahu tinggal di rumah. Ia jelas menyukarkan.

“Kami perlu menjadi jururawat dan ahli psikologi pada masa sama.

“Saya tidak takut dan saya tahu risiko yang dihadapi. Tetapi saya mahu membantu orang ramai sehinggakan saya lupa mengenai diri sendiri.

“Saya mengikuti arahan dan melindungi diri kerana mahu membantu mereka yang terkesan.”

Clavel mengakui dia akan duduk di keretanya dan mendengar muzik untuk berehat seketika selepas tamat bekerja bagi menghilangkan rasa kepenatan.

“Saya mempunyai pilihan dengan tinggal di rumah, tidak melakukan apa-apa dan hanya menunggu bantuan daripada kerajaan.

“Tapi saya mahu membantu orang dan sebab itu saya melakukannya. Saya berasakan dapat melakukan perubahan,” katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 2:32pm
d