arena

Pemain PDRM bebas Covid-19

Oleh Malik Muhamad

KETUA jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad melahirkan rasa syukur apabila 14 pemainnya yang terdiri daripada anggota keselamatan bebas daripada sebarang jangkitan wabak Covid-19.

Malah beliau juga bersyukur apabila semua pemainnya dan juga pegawai serta barisan kejurulatihan bebas daripada perlu menjalani tempoh kuarantin.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan pandemik Covid-19, pemain dan barisan kejurulatihan serta pegawai yang terdiri daripada anggota keselamatan diarahkan bertugas.

“Alhamdulillah semua pemain kami termasuk 14 daripadanya yang terdiri daripada anggota selamat daripada jangkitan atau dikuarantin susulan wabak pandemik itu, begitu juga dengan tujuh pegawai dan barisan kejurulatihan.

“Mereka sekarang begitu komited dengan tugas, saya difahamkan ada dalam kalangan anggota ini sudah dua hingga tiga minggu tidak pulang ke rumah berjumpa keluarga demi tugas selain bimbang membawa wabak itu.

“Ini tidak termasuk lagi dengan makan minum mereka yang sekadar keperluan sahaja mengalas perut selain rehat mungkin tidak mencukupi kerana mereka bertugas dibeberapa tempat termasuk di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan ada juga di Sabah,” katanya.

Justeru Ishak berkata, pemain yang terbabit diberi kelonggaran melakukan latihan sebagaimana pemain lain yang perlu menghantar video latihan mereka sepanjang tempoh PKP ini bagi mengekalkan tahap kecergasan masing-masing.

“Tapi jika pemain ini mempunyai masa dan mampu melakukan latihan yang diberikan, kita amat menggalakkannya kerana sedar mereka harus fokus kepada tugasan semasa sebagai barisan hadapan menjaga keamanan negara,” katanya.

Ketika ditanya berkaitan pemotongan gaji pemain dan juga jurulatih yang terlibat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), beliau akur namun mengharapkan ada situasi menang-menang antara pemain dan jurulatih dengan pihak pengurusan pasukan ataupun kelab.

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 2:56pm
d