arena

Perlu cergas walaupun tak turun ke padang

Oleh Mohd Rafi Mamat

BEKAS penyerang skuad hoki kebangsaan, Ismail Abu berpendapat dirinya tidak pernah merasa puas untuk terus beraksi di padang selagi tenaganya diperlukan pasukan tempatan dan luar negara.

Menurutnya, selepas menamatkan misi bersama pasukan kebangsaan selama 13 tahun (2002-2015) di pentas antarabangsa dia mula beralih dengan menyertai beberapa pasukan negeri dan kelab bersaing dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) yang menghimpunkan ramai pemain terbaik tempatan dan luar negara.

Katanya, sebagai pemain profesional penyertaannya dalam pasukan yang bersaing dalam MHL sentiasa bertukar setiap tahun, terdapat juga kontrak panjang selepas mendapat persetujuan kedua belah pihak.

"Walaupun menjangkau usia 36 tahun namun semangat saya untuk terus beraksi di pentas MHL bersaing dengan barisan pemain muda, walaupun sudah berpuluh kali mendakap piala kejuaraan namun keghairahan memburunya sentiasa bertambah.

"Saya perlu buktikan kepada pasukan bahawa kudrat saya masih lagi berbisa dalam usaha mengejar impian menjulang kejuaraan," katanya yang mula mewakili Pahang pada 1996 ketika berusia 12 tahun.

Beliau yang kini mewakili kelab Nur Insafi dalam MHL berkata, dalam memastikan dia sentiasa cergas terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) latihan kecergasan diadakan sejam sehari.

Ismail berkata, walaupun semua aktiviti sukan tidak boleh diadakan namun itu tidak bermakna dia perlu berehat kerana sekiranya terlalu lama berehat bukan sahaja prestasi akan terjejas malah badan juga akan naik.

Katanya, walaupun terpaksa membantu isteri menguruskan perniagaan makanan sejuk beku namun disiplin terhadap kerjaya perlu diberi perhatian bagi memastikan imej sebagai pemain profesional tidak terjejas, selain peluang untuk terus beraksi dalam MHL samar sekiranya tahap kecergasan tidak mencapai tahap terbaik.

"Setiap kali beraksi dalam MHL saya perlu berusaha memberi cabaran kepada pemain muda, pengalaman luas tidak bermakna sekiranya saya tidak cergas menyebabkan mudah diperdayakan pihak lawan.

"Walaupun masih belum memutuskan tarikh untuk bersara namun saya membayangkan untuk meninggalkan sukan itu apabila mencapai usia 40 tahun, saya terlalu cintakan sukan hoki," katanya yang kali terakhir menjulang Piala MHL bersama pasukan Terengganu Hockey Team tiga tahun dulu.

Dia yang pernah bersama pasukan negara pada saingan Sukan Asia, Piala Asia, Sukan Komanwel, Kelayakan Olimpik, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia menegaskan, semua ahli sukan perlu melakukan latihan kecergasan di rumah secara berterusan.

"Saya ingin menasihatkan kepada masyarakat supaya dapat mematuhi PKP bagi memastikan wabak Covid-19 tidak terus menular hingga menjejaskan aktiviti harian semua pihak," katanya yang turut beraksi di Liga Hong Kong sejak empat tahun lalu.

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 6:00pm
d