arena

Dugro berdebar tunggu tujuh hari lagi

Oleh Saiful Affendy Sapran

"SETAKAT ini tiada apa-apa, saya harap akan kekal sihat selepas ini.”

Demikian pengakuan pemain ragbi profesional negara, K Dinesvaran yang berada dalam keadaan baik dan tidak mempunyai sebarang gejala pandemik Covid-19 selepas pulang dari Jepun, Jumaat lalu.

Dia yang turut dikenali sebagai Dugro, sudah melalui tempoh kuarantin selama tujuh hari di sebuah hotel dan masih berbaki tujuh hari lagi untuk melengkapkan tempoh kuarantin selama 14 hari.

Dugro yang juga kapten skuad negara berkata, ketika ini dia hanya melakukan rutin biasa dengan menjalani latihan ringan bagi mengisi masa sepanjang tempoh kuarantin itu.

"Saya melakukan latihan ringan sejak beberapa hari lalu dan cuba mengamalkan diet pemakanan selama tempoh kuarantin 14 hari ini.

"Saya juga cuba mempelajari skil baru ketika tempoh kuarantin, sekurang-kurangnya saya tidak menghabiskan masa begitu saja sepanjang tempoh rehat berkualiti ini," katanya.

Dugro yang beraksi bersama Hino Red Dolphins yang bersaing di Top League di Jepun berkata, apa yang menjadi keutamaanya ketika ini adalah bebas daripada pandemik Covid-19.

Dengan baki aksi liga di Jepun dibatalkan seperti diumumkan Kesatuan Ragbi Jepun, Dugro yang mempunyai kontrak tiga tahun bersama kelabnya, hanya akan kembali ke negara matahari terbit itu apabila segala-galanya kembali pulih seperti biasa.

"Saya akan menunggu sehinggalah segala-galanya kembali seperti biasa sebelum pulang ke Jepun. Lagi pun liga di sana sudah dibatalkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 2:26pm
    d