arena

Terengganu sertai STL, jika dapat lampu hijau

Oleh Malik Muhamad

"PANDANGAN saya mudah, jika kerajaan Malaysia maklum boleh main kita main, tapi jika kerajaan maklum jangan, Terengganu akan patuh," kata Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT), Mohd Abas Mamat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail sebelum ini yang mahu meneruskan Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) mengikut jadual asal iaitu bermula 15 Ogos ini.

Mohd Abas berkata, jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan kejohanan boleh berlangsung dan PSM bersetuju mengadakan STL, Terengganu akan menyertainya.

Namun, jika kejohanan itu tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk dilangsungkan berikutan bimbang penularan wabak pandemik Covid-19, kami pasrah walaupun sedar pemain begitu bersemangat untuk kembali beraksi pada musim ini.

"Bagi pasukan Terengganu kita tetap dengan ketetapan MKN yang akan menentukan sama ada boleh menyertai kejohanan berprestij itu ataupun sebaliknya.

"Sekiranya ada 'lampu hijau' daripada MKN bahawa Malaysia bebas daripada sebarang wabak Covid-19 dan aktiviti kesukanan boleh dilaksanakan, kita akan sertai.

"Itupun dengan prosedur dan tahap keselamatan yang meyakinkan, misalnya prosedur daripada segi kehadiran penonton yang perlu dinilai dan dilihat daripada pelbagai aspek keselamatan, begitu juga dengan pemain dan pegawai pasukan.

"Ini kerana dengan kehadiran penonton ke stadium akan memeriahkan lagi kejohanan STL dan daripada situ kita dapat rumuskan kejohanan itu mendapat tempat di hati peminat pasukan masing-masing ataupun sebaliknya.

"Kita tetap menyokong apa-apa yang diputuskan oleh PSM sebagai badan induk demi kemajuan dan pembangunan sukan itu," kata Abas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 6:23pm
    d