arena

Reezal Merican doakan kesihatan Jackie

Oleh Aida Adilah Mat

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa mengikuti perkembangan atlet dan terbaru beliau meluangkan masa untuk bertanyakan khabar atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong.

Jackie yang kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Sibu, Sarawak masih belum dibenarkan keluar daripada hospital apabila ujian saringan Covid-19 yang keenam dilakukan terhadapnya Isnin lalu masih positif.

Menerusi panggilan video yang dilakukan semalam, Reezal memaklumkan atlet negara berusia 27 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil.

“Saya berhubung dengan Jackie untuk mengetahui keadaan terkininya dan dia memaklumkan bahawa dia bimbang akan penyakit asma akan menyebabkan kesihatannya terjejas dan lemah untuk melawan wabak Covid-19 itu.

“Saya juga sempat bertanyakan khabar ayahnya dan marilah kita mendoakan supaya Jackie dan ayahnya cepat sembuh dan kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.

Jackie adalah atlet negara pertama disahkan positif Covid-19 selepas dipercayai dijangkiti menerusi bapanya yang turut disahkan positif dan kini sedang menjalani rawatan di hospital sama.

Dalam pada itu, Jackie perlu disahkan negatif dalam dua ujian yang dijalankan secara berturut-turut sebelum dibenarkan keluar dari hospital selepas ini.

Disiarkan pada: April 16, 2020 @ 10:44pm
d