arena

Shahrun sedia sahut seruan negara

Oleh Malik Muhamad

BEKAS kapten kebangsaan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah sedia membuat pusingan 'U' jika khidmatnya masih diperlukan dalam skuad Malaysian Tigers.

Pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu berkata, walaupun usianya sudah menjangkau 35 tahun, namun dia akui masih berminat dan mampu menyumbang kudrat buat pasukan kebangsaan.

"Pemain mana tidak mahu wakili pasukan negara kerana itu satu pengiktirafan dan pentas tertinggi buat seseorang pemain. Keinginan saya untuk mewakili Malaysia dalam sukan digemari itu sentiasa ada dalam diri.

"Jika pihak pengurusan masih berminat dengan khidmat saya, saya sedia kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan, lagipun sehingga kini saya masih lagi aktif bermain dengan pasukan negeri kelahiran THT, selain sentiasa melakukan latihan sendiri di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Namun saya sedar bukan mudah untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan lagipun saya difahamkan pengurusan pasukan mahu membentuk 'team' baharu lebih-lebih lagi pasukan negara gagal melangkah ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung tahun depan," ujar Shahrun yang bergelar kapten kebangsaan bermula 2012 hingga 2014.

Sepanjang 11 tahun mewakili skuad kebangsaan, Shahrun mengecapi kejayaan merangkul pingat perak dalam kejohanan Sukan Asia pada 2010 selain merangkul kejuaraan tiga tahun berturut-turut Piala TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) bermula 2015 ketika menyarung jersi THT.

Ketika ditanya sasaran pasukannya dalam Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 di Johor, Shahrun yang kini penolong jurulatih pasukan hoki wanita Terengganu tidak meletak sasaran tinggi untuk muncul juara dalam kejohanan dwitahunan itu.

"Semua pemain dalam pasukan kami baharu dibentuk, jadi untuk melangkah ke final mungkin agak sukar,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 1:41pm
d