arena

MOM lancar dana bantu NSA

Oleh Aida Adilah Mat

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menubuhkan dana khas bagi tujuan membantu Persatuan Sukan Negara (NSA) yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, MOM menyedari bahawa pandemik ini memberi kesan yang ketara sehingga mengakibatkan kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus memberi kesan kepada industri sukan secara keseluruhannya.

Justeru ia mendorong MOM memperuntukkan RM300,000 untuk membantu NSA yang terkesan dengan wabak Covid-19 ini.

Dana ini bertujuan untuk membantu NSA menampung perbelanjaan pentadbiran persatuan sukan ketika menyedari beberapa kejohanan dan perancangan terpaksa dibatalkan sehingga menyebabkan pendapatan mereka terjejas. “Wabak Covid-19 ini memberi kesan keseluruhannya kepada industri sukan negara sehingga menjejaskan pendapatan NSA ketika masih perlu mengeluarkan perbelanjaan bulanan.

“Pihak NSA akan dimaklumkan secepat mungkin mengenai proses dan prosedur permohonan bantuan dana berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Lembaga Eksekutif MOM bersetuju untuk mengurangkan sewa sebanyak 50 peratus bagi penyewa di Wisma MOM untuk bulan April dan Mei 2020.

MOM akan terus memantau keadaan dan berhubung dengan pihak berkepentingan dan ahli gabungan yang terbabit dengan pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 9:50pm
d