arena

Legenda England meninggal dunia kerana Covid-19

Oleh AFP

LEGENDA kebangsaan England dan bintang Leeds United, Norman Hunter meninggal dunia pada usia 76 tahun selepas menghidapi Covid-19, umum kelab Liga Kejuaraan Inggeris itu.

Dikenali dengan corak pertahanan keras, yang menjadi tonggak utama Leeds ketika era emas buat kelab itu di bawah kendalian pengurus Don Revie.

Dia dimasukkan ke hospital minggu lalu. Hunter yang dikenali dengan gelaran 'Bites yer Legs' mengumpul 726 penampilan buat Leeds lebih 14 tahun sekitar 1960an dan 70an.

Dia memenangi 28 kap buat England dan sebahagian daripada skuad juara Piala Dunia 1966.

Leeds berkata dalam satu kenyataan: "Leeds United bersedih dengan berita kematian ikon kelab Norman Hunter pada usia 76 tahun.

“Norman di bawa ke hospital minggu lalu selepas disahkan menghidapi wabak Covid-19 dan walaupun terus berjuang serta usaha terbaik dilakukan staf NHS (Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan) agak malang dia gagal diselamatkan pagi ini.”

“Ia satu kehilangan yang besar buat keluarga Leeds United,” tambah kenyataan itu.

“Legasinya tidak akan dilupakan dan kami berkongsi kesedihan bersama keluarga dan rakan Norman ketika detik sukar ini.”

Hunter membantu Leeds memenangi dua kejuaraan Divisyen Satu, dua Piala Antara Bandaraya termasuk Piala Liga dan Piala FA.

Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 10:49pm
d