arena

Coman berdepan tindakan, pandu kereta selain Audi

Oleh Agensi

BINTANG Bayern Munich, Kingsley Coman sengaja menempah masalah dengan kelabnya kerana gagal memandu ke tempat kerja menggunakan kereta syarikat.

Kelab The Bavarian itu mempunyai hubungan kuat dengan pengeluaran kenderaan Audi di Jerman yang memiliki 8.33 peratus saham dalam kelab itu.

Sebagai pemain skuad utama mereka harus memandu kereta Audi syarikat untuk kegunaan pergi dan pulang dari pusat latihan Sabener Strasse.

Namun Coman, 23, adalah bintang terbaharu Bayern yang melanggar undang-undang itu dan dijangka berdepan tindakan daripada kelabnya itu.

Warga Perancis itu tiba di Sabener Strasse bersama McLaren 570S Spider bernilai £174,000 (RM951,209).

Philippe Coutinho dan Niklas Sule sebelum ini turut melanggar peraturan itu apabila didapati memandu Mercedes dan Ferrari baru-baru ini.

Ia membuatkan Pengarah Sukan kelab itu, Hasan Salihamidzic mengugut untuk mendenda bintangnya £43,500 (RM237,933) kerana mengabaikan peraturan itu.

Selain kereta Audi, kenderaan lain yang dikeluarkan oleh kumpulan VW, seperti Bentleys atau Porsches masih boleh diterima.

Dan ketika tiada denda yang diumumkan buat masa ini, Coman menyatakan permohonan maaf secara terbuka dengan menyalahkan kerosakan pada cermin sisi disebabkan kemalangan mendorong dia membawa kenderaan itu.

Dia memberitahu Bild : “Saya minta maaf kepada kelab dan Audi kerana tidak memandu kereta syarikat ketika menyertai latihan.

“Sebabnya kerosakan pada cermin sisi pada kereta Audi saya. Masih ia sebagai satu kesilapan, sudah pasti saya menyedarinya.

“Sebagai tindakan lanjut, saya akan melawat ke kilang Audi di Ingolstadt untuk sesi autograf secepat yang mungkin dan mengambil perhatian majikan saya.

Coman dan skuad itu sudah kembali menjalani latihan di Sabener Strasse sejak Isnin minggu lalu, ketika Bundesliga berusaha untuk memulakan kembali saingan selepas saingan bola sepak ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19 bulan lalu.

Mereka menjalani latihan dalam kelompok kecil lima pemain. Dan difahamkan kelab itu mahu membiasakan diri sekurang-kurangnya tiga minggu menerusi latihan penuh sebelum kembali pada aksi perlawanan sebenar pada 23 dan 30 Mei ini dengan memulakan saingan dalam perlawanan tertutup.

Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 11:40pm
d