arena

Mane tidak selamanya di Anfield

Oleh Agensi

RAKAN sepasukan Sadio Mane dalam skuad Senegal, Keita Balde berkata, penyerang itu tidak akan kekal selamanya bersama Liverpool.

Peledak berbisa The Reds menarik minat Real Madrid sejak beberapa musim lalu selepas mempamerkan prestasi menarik sehingga dicalonkan merebut anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA.

Pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan 14 gol dan sembilan bantuan jaringan di Liga Perdana setakat ini dan berkongsi kedudukan penjaring terbanyak musim lalu.

Dengan Real Madrid bergelut mendominasi La Liga sejak beberapa musim lalu, Mane bakal menjadi pilihan tepat buat Los Blancos dan Zinedine Zidane mahu pemain itu menjadi sasaran utama pembelian musim panas.

Bagaimanapun, Liverpool tampak tidak berminat menjual Mane namun Balde berpendapat rakan senegaranya itu mungkin mempunyai idea masa depan yang berbeza

"Ia bergantung kepada banyak perkara,” kata bintang Monaco, Balde kepada AS. “Saya tak tahu keputusan dia, mungkin setahun atau dua tahun lagi dia mahu perubahan.

"Saya tak fikir dia mahu terus berada di sana selamanya. Dia pemain bijak dan tahu apa yang yang terbaik untuknya dan apa yang mahu dilakukan. Tetapi di Madrid ada banyak nama hebat.”

Mane masih mempunyai kontrak dengan Liverpool sehingga 2023 dan dia sendiri mendedahkan berhasrat mencipta sejarah di Anfield.

"Sudah tentu saya mahu menjadi legenda bukan sahaja kepada Liverpool tetapi juga dalam Liga Perdana dan ia salah satu sasaran saya.

"Seperti selalu saya katakan, saya sangat gembira beraksi bersama kelab ini dan menikmati setiap saat di sini. Saya berusaha apa sahaja untuk memenangi sesuatu bersama kelab ini,” kata Mane.

Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 9:20am
d