arena

Ter Stegen sengkang mata jaga anak

Oleh Agensi

PENJAGA gol Barcelona dan Jerman, Marc-Andre ter Stegen memanfaatkan tempoh perintah berkurung susulan pandemik koronavirus dengan menjalankan tugas sebagai seorang ayah.

Bekas bintang Borussia Monchengladbach berusia 27 tahun itu dan isterinya, Daniela mendapat cahaya mata lelaki pada Disember lalu dan Ter Stegen menghabiskan masa lebih lama di rumahnya selepas penularan wabak Covid 19 di Sepanyol.

Tidak seperti kebiasaan menuju ke padang latihan setiap hari, Ter Stegen mengekalkan kecergasan di rumah di samping memanfaatkan masa berkualiti bersama anak lelakinya, Ben yang berusia tiga bulan.

Bagaimanapun, dia mengakui pada awal bulan pertama menjadi bapa, dia agak tertekan tetapi dia tetap positif.

"Dalam setiap situasi negatif seperti pandemik koronavirus, akan ada aspek positif. Kita boleh meluangkan lebih masa bersama keluarga terutamanya sekarang, dia membesar dengan cepat. Gembira dapat bersama Ben.

“Pada awalnya agak mencabar kerana tidur saya tak mencukupi. Kami perlu mencari jalan mengatasinya. Kini saya dan Dani melakukannya dengan baik.

Ter Stegen yang bersaing dengan Manuel Neuer untuk menjadi penjaga gol nombor satu Jerman bertukar giliran dengan isterinya untuk memenuhi keperluan Ben.

"Biasanya Dani tetapi kini saya ada di rumah dan saya boleh membuat jadual sendiri, begitu juga dia,” kata Ter Stegen dalam video kelab Barcelona.

"Kata Dani, mungkin kita boleh bergilir-gilir berjaga malam. Hanya satu malam sahaja dia membenarkan kami berdua tidur lena tetapi itu bukan masalah besar.”

"Saya OK, kami berada di rumah seperti dilakukan orang lain dan menghabiskan masa bersama walaupun bukan dalam situasi menyeronokkan.”

Ketika bola sepak Sepanyol masih lagi digantung dengan tiada petunjuk jangka masa ia bersambung kembali, bintang Barcelona yang lain daripada Ter Stegen sehinggalah Lionel Messi hanya mampu menjalani latihan di rumah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 2:46pm
    d