arena

Kayuh 36 jam kumpul dana Covid-19

Oleh AFP

BEKAS juara Tour de France, Geraint Thomas berjaya mengumpul 300,000 pound (RM1.6 juta) untuk dana Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS) selepas 36 jam mengayuh basikal di garaj rumahnya.

Pelumba kelahiran Wales itu melakukan tiga set kayuhan selama 12 jam menggunakan basikal turbo di Cardiff bertujuan meraih dana memerangi wabak Covid-19.

Kayuhan selama 12 jam itu adalah untuk merasai tempoh bekerja petugas NHS.

“Tidak keterlaluan, dua jam terakhir adalah waktu yang paling sukar pernah saya rasai sepanjang mengayuh basikal.

“Saya hampir tidak boleh duduk,” kata juara Tour de France 2018 itu.

Saingan profesional, sama seperti sukan utama di seluruh dunia, terpaksa ditangguhkan akibat penyebaran wabak berkenaan, termasuk Tour de Frace yang sepatutnnya dilangsungkan pada Jun dan Julai ditukar kepada Ogos dan September.

Penangguhan saingan lebuh raya membuatkan Thomas cuba untuk mencabar dirinya seolah-olah dia sedang beraksi lapan hingga sembilan pusingan perlumbaan.

“Ia sudah cukup. Saya perlu memulihkan kembali tenaga saya dalam tempoh seminggu. Berkayuh 36 jam dalam tiga hari umpama berlatih dalam tempoh seminggu buat saya.

“Paling lama saya pernah berkayuh di jalan raya ialah selama lapan jam 20 minit, itupun secara berkumpulan dan sempat berhenti minum kopi,” kata pemenang personaliti sukan Britain 2018 itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 18, 2020 @ 11:14pm
    d