arena

'Bersabar dahulu' - Vettel

Oleh Agensi

PELUMBA Ferrari, Sebastian Vettel menegaskan Formula Satu (F1) perlu ‘bersabar’ untuk kembali beraksi di sebalik berdepan rasa kecewa tidak dapat berlumba berikutan pandemik Covid-19.

Wabak itu yang melanda seluruh dunia menyaksikan perlumbaan F1 masih tidak dapat dilangsungkan musim ini dengan beberapa pusingan menangguhkan atau membatalkan penganjuran perlumbaan berprestij itu.

Pengurusan F1 ketika ini sedang membuat penilaian bagaimana untuk menganjurkan semula perlumbaan itu secepat mungkin dengan memastikan sekurang-kurangnya lapan perlumbaan dilangsungkan bagi mengesahkan kejuaraan dunia untuk pemandu dan pengeluar.

“Kita semua pastinya mahukan kehidupan yang normal kembali,” kata juara dunia empat kali itu kepada media menerusi sidang video.

“Bukan sahaja F1 tetapi setiap orang di seluruh dunia mahukan kehidupan seperti biasa. Tetapi seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, paling terbaik adalah untuk kita bersabar dahulu.

“Agak memeritkan kerana saya mahu kembali memandu jentera dan mahu berlumba. Tetapi ramai juga yang mempunyai impian masing-masing tetapi tidak boleh melakukannya ketika ini.

“Mungkin pada beberapa pusingan awal perlumbaan selepas ini, kami akan berlumba di dalam situasi yang agak janggal tetapi harapnya ia tidak berpanjangan terlalu lama.

“Maknanya kami mahu berlumba di depan orang ramai dengan suasana yang sangat menarik.

“Saya rasa tidak ada mana-mana pelumba yang mahu berlumba di depan tempat duduk kosong,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 11:56am
d