arena

Luar biasa Bravo 'terbang' [VIDEO]

Oleh Agensi

BUKAN mudah seseorang pemain berlatih bersendirian di rumah ketika perintah berkurung berikutan pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia.

Bagaimanapun, video penjaga gol Manchester City, Claudio Bravo berlatih bersendirian di England mencuri perhatian netizen.

Dia yang berada di England mengekalkan kecergasan dan ketangkasan dengan berlatih menggunakan alat bantuan latihan tanpa perlu bantuan daripada individu lain.

Paling menarik video yang dimuatnaik di laman sosial itu menyaksikan Bravo membaling bola ke arah pagar besi sebelum ia melantun menuju ke pintu gol.

Dengan ketangkasan dan pengalaman yang ada dia berjaya melayangkan badannya dan menepis bola berkenaan daripada masuk ke dalam pintu gol.

Aksi bekas ketua pasukan Chile itu mendapat pelbagai reaksi dari peminat termasuk mengimbau kembali kecemerlangannya ketika membantu La Roja muncul juara Copa America 2015 menewaskan Argentina menerusi penentuan penalti 4-2.

“Sentuhan magis saya belum hilang,” jelas Bravo dalam kapsyen video berkenaan yang mendapat 9,800 tanda suka dan beratus komen memuji ketangkasannya.

“Saya suka anda kapten, andalah penjaga gol terbaik dalam sejarah Chile. Luar biasa, terima kasih Claudio Bravo kerana memberikan kami keseronokkan dalam bola sepak.

“Anda dan Condor Rojas adalah yang terbaik dalam lipatan sejarah kami,” antara komen yang diberikan peminat di akaun laman sosial Bravo.

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 10:09pm
d