arena

Kelab GMSK sumbang bantuan

Oleh Mohd Rafi Mamat

KELAB bola sepak Gerbang Muhibbah Soccer Kids (GMSK) mengagihkan bantuan keperluan harian kepada 100 golongan memerlukan di daerah Pekan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19.

Pengerusinya Datuk Mohd Mazri Mahmud berkata, bantuan sama turut diberikan kepada peneroka Felda Chini Timur, pesara dan balu polis daerah ini dengan keseluruhan nilai keseluruhan lebih RM4,000 hasil sumbangan pelbagai pihak.

Menurutnya, sebelum Ramadan akan datang pihaknya sekali lagi bercadang untuk memberi bantuan kepada 100 golongan miskin, ibu tunggal, warga emas dan anak yatim di daerah ini.

“Agihan bantuan sebelum ini dilakukan dari rumah ke rumah, saya turut sama menyampaikan sumbangan berkenaan dengan tujuan untuk melihat sendiri keadaan mereka yang tertekan berikutan PKP yang kini memasuki fasa ke tiga.

“Bagaimanapun bantuan disediakan kerajaan dan pelbagai pihak diharap dapat meringankan beban golongan terbabit,” katanya yang simpati dengan bebanan dihadapi rakyat.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Satu Persatuan Bolasepak Daerah Pekan (PBDP) berkata, setiap bantuan yang diberikan mengandungi seperti beras, ikan bilis, minyak masak, teh, kopi, gula, mee segera, tepung, sos cili dan kicap.

Mohd Mazri berkata, fasa kedua bantuan selepas ini lebih tertumpu di Felda Chini, golongan peneroka tidak ketinggalan terkesan berikutan PKP apabila hasil ladang mereka tidak dapat dituai sebelum ini.

“Saya berbangga sokongan yang diberikan ahli kelab GMSK dan rakan dapat mengisi tabung sumbangan, kerjasama berkenaan dapat melancarkan lagi misi bantuan kepada golongan memerlukan.

“Saya berharap usaha meringankan beban rakyat turut sama dilakukan pihak lain dalam usaha membantu kerajaan,” katanya yang sebelum ini terbabit menganjurkan kejohanan futsal padang terbuka bawah umur.

Disiarkan pada: April 19, 2020 @ 11:27pm
d