arena

Mo Farah kagum usaha Moore

Oleh AFP

PELARI jarak jauh British, Mo Farah berkata kejayaannya memenangi banyak pingat tidak memberi sebarang makna berbanding usaha dilakukan seorang veteran tentera Perang Dunia Kedua berusia 99 tahun yang mengutip derma bagi membantu barisan hadapan menangani pandemik Covid-19.

Tom Moore, seorang kapten yang berkhidmat di India, sudah meraih derma lebih £25 juta (RM136 juta) untuk pekerja kesihatan selepas hanya mensasarkan untuk meraih £1,000 (RM5,400) dengan berjalan 100 pusingan di kawasan perumahannya.

“Ia amat menakjubkan. Tiada kata-kata dapat menggambarkan mengenai Tom,” kata pemenang empat emas di Sukan Olimpik itu kepada Sky Sports.

“Saya memenangi pingat untuk sekian lama tetapi ia tidak memberi sebarang makna,” kata Farah yang memenangi acara 5,000 dan 10,000 meter di Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016.

“Apabila menyaksikan anda melakukan sesuatu untuk mereka yang bekerja dengan risiko tinggi, ia adalah sesuatu yang amat menakjubkan.

“Kami diraikan kerana membanggakan negara dengan memenangi pingat tetapi orang lain juga perlu diraikan kerana mereka merisikokan diri dan melakukan kerja-kerja amal,” katanya.

Dengan semua acara sukan di dunia di tangguhkan termasuk Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan, Farah terbabit dengan kerja-kerja mengumpul dana untuk Pusat Kesihatan Nasional (NHS).

Terbaru Farah melengkapkan larian Run for Heroes 5K di atas treadmill di rumah selepas menerima cabaran daripada bekas kapten Chelsea, John Terry.

Mereka yang mengambil bahagian diminta untuk menderma sebanyak £5 (RM27) selepas melengkapkan acara itu dan kemudian menamakan lima lagi individu untuk mengambil bahagian dalam cabaran itu.

Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 12:09pm
d