arena

'Messi lebih baik berbanding Ronaldo - Rooney

Oleh Agensi

WAYNE Rooney memilih Lionel Messi sebagai pemain lebih baik berbanding Cristiano Ronaldo kerana bintang Barcelona itu mempunyai kemampuan untuk ‘menyeksa’ lawannya.

Rooney pernah beraksi bersama-sama Ronaldo di Manchester United dengan membantu Red Devils meraih kejuaraan hatrik di Liga Perdana sebelum bintang Portugal itu menyertai Real Madrid.

Perseteruan antara Messi dan Ronaldo di Sepanyol menyaksikan kedua-duanya berkongsi 11 kemenangan anugerah Ballon d’Or.

Bagaimanapun Rooney percaya corak permainan Messi lebih baik berbanding rakan sepasukannya itu.

“Ronaldo tidak begitu fokus untuk menjaringkan gol ketika kami beraksi bersama tetapi anda dapat melihat keinginannya untuk menjadi pemain terbaik dunia.

“Dia tidak jemu menjalani latihan dan akhirnya membuahkan hasil. Ronaldo menjadi penjaring gol konsisten dan dia bersama-sama Messi adalah dua pemain terbaik dalam arena bola sepak yang pernah kita saksikan.

“Namun di sebalik hubungan saya dengan Ronaldo, saya lebih memilih Messi. Ia sama seperti saya saksikan persaingan antara Xavi dan Scholes.

“Saya masih tidak dapat melupakan bagaimana Messi merembat bola sekuat-kuatnya masuk ke dalam gawang gol.

“Ronaldo lebih kasar di dalam kotak penalti dan seorang pemusnah. Tapi Messi akan ‘menyeksa’ sebelum memusnahkan anda. Messi juga dilihat lebih selesa ketika beraksi di atas padang,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 2:31pm
d