arena

THT mampu jadi kuasa besar jika..

Oleh Malik Muhamad

“PASUKAN Hoki Terengganu (THT), mampu mengekalkan status sebagai kuasa besar hoki dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) jika berjaya memikat beberapa pemain kebangsaan kelahiran negeri itu,” ini pandangan yang dilontarkan bekas pengendali skuad itu musim ini, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Selain itu jurulatih yang kini membimbing pasukan Pasukan Jawa Barat (Jabar), Indonesia berkata, pihak pengurusan THT juga perlu bijak memilih tenaga import yang berkualiti dan bersesuaian mengikut posisi bukannya mengikat pemain tangkap muat sahaja.

Katanya satu lagi yang paling mustahak pasukan itu perlu menawarkan pekerjaan bagi mengelak pemain ‘angkat kaki’ menyertai pasukan lain yang mungkin menawarkan pakej lebih menarik berbanding pasukan dari Pantai Timur itu.

“THT adalah antara pasukan disegani dalam saingan MHL dengan kejayaan dalam beberapa kejohanan termasuk pernah merangkul beberapa kali Piala TNB, Piala MHL, Piala Tan Sri P Alagendra dan juga Piala Sumbangsih.

“Namun musim ini nasib tidak menyebelahi pasukan bimbingan saya itu apabila hanya berada di tangga ketiga liga, naib juara masing-masing dalam saingan Piala TNB dan Piala Sumbangsih selepas kedua-dua saingan itu tewas kepada pasukan pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Namun saya berpandangan jika THT berjaya membawa masuk pemain kebangsaan anak jati Terengganu yang kini beraksi dengan pasukan lain termasuk penyerang, Muhammad Akimullah Anuar Essok, Firhan Ashari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Syarman Mat Tee, pasti akan beri nafas baharu buat pasukan.

“THT juga perlu bijak memilih tenaga import yang benar-benar berkualiti berdasarkan kemampuan yang mampu membantu pasukan, bukannya membeli pemain tidak mengikut posisi dan padahnya pemain berkenaan gagal menyerlah.

“Bagi saya jika THT betul serius mahu mengekalkan kejuaraan sebagaimana yang diraih sebelum ini, cukup hanya ikat pemain tempatan berkualiti, buat apa ikat tenaga import tapi pemain sendiri dan tempatan sukar nak beli.

“Percayalah jika anak jati ramai beraksi dalam pasukan, bukan hanya penyokong sahaja yang membanjiri stadium, malah kualiti pemain itu sendiri sudah pasti meningkat lagi pun saya lihat Terengganu mempunyai ramai pemain muda berbakat ibarat kilang pengeluar pemain.

“Tapi paling penting THT perlu tawarkan mereka pekerjaan seperti mana yang dilakukan pasukan UniKL sekali gus mampu menyekat pemain berhijrah dengan pasukan lain.

”Besar harapan saya agar THT dapat melakukan rombakan segera ke atas pasukan selain latihan awal sekurangnya-kurangnya enam bulan sebelum perlawanan perlu bagi pemain lebih serasi,” ujar Dhaarma Raj.

Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 7:19pm
d