arena

FELDA United potong gaji

Oleh Asrol Awang

KELAB Bolasepak FELDA United (FUFC) melaksanakan pemotongan gaji lima hingga 20 peratus buat barisan kejurulatihan dan pemain kelab itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agung FUFC, Afizal Abu Othman berkata, pemotongan gaji itu akan bermula bulan ini dan sekiranya PKP berakhir, bayaran gaji bulan berikutnya akan dibayar mengikut kontrak.

“Pada 14 April lalu, kami sudah memberikan surat kepada semua barisan kejurulatihan dan pemain Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia dan akademi untuk memaklumkan potongan gaji antara lima hingga 20 peratus.

“Pemotongan gaji hanya untuk tempoh PKP sahaja dan setakat ini secara tidak rasmi semua bersetuju dengan pemotongan yang dicadangkan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan FUFC.

“Antara faktor pemotongan itu dilaksanakan ialah disebabkan penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super dan pada masa sama, ia dapat menampung sumber kewangan kelab,” katanya.

Afizal berkata, sebelum keputusan pemotongan itu dilaksanakan, sesi perbincangan turut dilakukan bersama ketua jurulatih dan kapten pasukan bagi mendapatkan pandangan.

“Hasil perbincangan itu, segala pandangan dibawa kepada Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan FUFC dalam menentukan jumlah potongan gaji yang perlu dilakukan.

“FUFC juga mengikut saranan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” katanya.

Mengulas pemantauan barisan pemain The Fighters sepanjang PKP, beliau berkata, pihaknya sentiasa mendapatkan maklumat sama ada daripada ketua jurulatih atau jurulatih kecergasan.

Katanya, segala perkembangan semasa berkaitan pemain terutama daripada segi latihan akan dipantau setiap hari.

“Setakat ini segalanya mengikut jadual yang ditetapkan dan diharapkan semua pemain mengikuti segala program latihan yang diberikan oleh jurulatih kecergasan,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 7:43pm
d