arena

Arsenal potong gaji pemain, Arteta

Oleh AFP

ARSENAL muncul kelab pertama Liga Perdana Inggeris bersetuju dengan langkah pemotongan gaji berikutan pandemik Covid-19 sekali gus menyaksikan barisan pemain serta pengurus, Mikel Arteta dipotong sebanyak 12.5 peratus daripada gaji mereka.

Selepas Southampton dan West Ham mengumumkan penangguhan gaji ke atas barisan pemainnya, Arsenal melangkah setapak dengan memutuskan untuk memotong gaji Arteta serta skuad utamanya.

“Kami ingin mengumumkan bahawa kami sudah mencapai persetujuan bersama dengan pasukan utama, ketua jurulatih dan staf kejurulatihan untuk membantu kelab pada waktu sukar ini.

“Ketika perbincangan itu, semua jelas mengenai situasi semasa yang disebabkan pandemik Covid-19 dan keinginan yang tinggi bagi pemain serta kakitangan untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap keluarga Arsenal,” kata Arsenal dalam satu kenyataan.

Persetujuan itu dicapai selepas beberapa siri perbincangan dilakukan sejak dua minggu lalu ketika barisan pemain Liga Perdana dikritik kerana gagal mencapai persetujuan berhubung langkah pemotongan gaji.

Liga Perdana meminta kelab memotong gaji pemain sebanyak 30 peratus namun Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Inggeris berkata, tindakan itu akan memberi kesan kepada kutipan cukai yang antaranya digunakan untuk operasi Pusat Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Arsenal akhirnya mencapai persetujuan pemotongan gaji selepas Arteta dapat meyakinkan skuadnya.

Beliau yang sudah pulih sepenuhnya selepas positif Covid-19 bulan lalu, mengadakan perbincangan bersama skuadnya menerusi persidangan video.

Arteta mengakui sebolehnya tidak mahu membincangkan soal kewangan namun dalam kes Covid-19, beliau mahu barisan pemainnya mencapai persetujuan bersama untuk membantu Arsenal melalui tempoh sukar ketika ini.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 9:57am
d