arena

'Saya bukan terbaik sepanjang zaman' - Rossi

Oleh Agensi

BEKAS juara dunia MotoGP, Valentino Rossi berasakan bahawa dia bukanlah perlumba terbaik sepanjang zaman.

Rossi membuat pengakuan itu menerusi sesi Instagram Live bersama bekas bintang bola sepak, Christian Vieri.

“Anda dilabel terbaik dalam sukan anda sama seperti Lionel Messi (bola sepak) dan Roger Federer (tenis). Anda adalah raja sukan permotoran lebih daripada 20 tahun,” kata Vieri.

Rossi kemudian menjawab: “Saya tidak pasti jika saya adalah terbaik sepanjang zaman. Mungkin salah seorang yang terbaik.”

Juara dunia sembilan kali itu yang beraksi bersama Yamaha kemudian berkongsi mengenai perancangan masa depannya di MotoGP.

“Saya mahu mengharungi beberapa perlumbaan musim ini untuk memahami adakah saya masih kompetitif dan kemudian mengambil keputusan jika mahu terus berlumba pada 2021,” katanya.

Rossi juga berkongsi perancangannya untuk membuka sebuah muzium.

“Kami sedang merancang mengumpulkan segala yang terbaik sepanjang karier saya. Ramai yang hadir ke kampung saya di Tavullia dan sudah pasti lebih menarik jika dapat dibina sebuah muzium di sana,” katanya.

Dia turut berkongsi pengalaman sepanjang perintah berkurung susulan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Kita sedang berdepan dengan situasi yang sukar di mana tiada sesiapa pun menjangkakan ia akan berlaku. Saya hanya mengekalkan tahap kecergasan di gym, menonton filem dan bermain permainan video,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 12:47pm
d