arena

Tarikh Sukma terserah kepada KBS

Oleh Malik Muhamad

MAJLIS Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akur dengan sebarang tarikh baharu temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang dijangka akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada Khamis ini.

Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu percaya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diketuai menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan jawatankuasa Sukma itu pasti sudah memperhalusi tarikh baharu yang akan diumumkan itu nanti.

“Pertamanya kita menghormati arahan kerajaan mengenai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani Covid-19, iaitu wabak yang harus ditangani dengan serius oleh segenap lapisan masyarakat termasuk warga sukan.

“Mengenai Sukma, jawankuasa tertinggi sudah memutuskan tarikh asal akan ditunda kepada satu tarikh baharu yang dijangka akan diputuskan oleh jawatankuasa itu pada Khamis ini.

“Pendirian kita di MSNT tetap akur dengan sebarang keputusan jawatankuasa berkenaan yang saya rasa sudah memikirkan kepentingan keperluan pembangunan sukan prestasi tinggi.

“Berkaitan tarikh baharu yang akan diumumkan itu, KBS sudah pasti akan berunding dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memenuhi keperluan bersama secara menang-menang lebih-lebih lagi selepas peperiksaan awam ditangguhkan kepada suku pertama tahun depan selain Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan.

“Ini kerana ada dalam kalangan atlet yang bakal menduduki peperiksaan berkenaan, tapi saya berpendapat tahun depan adalah masa yang bersesuaian diadakan kejohanan Sukma ini, namun tarikhnya bergantung kepada tempoh arahan PKP selanjutnya,” katanya.

Terengganu adalah juara bertahan dalam sukan itu apabila muncul juara keseluruhan temasya di Perak pada 2018 selepas mengutip 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Pada Mac lalu, KBS mengumumkan Sukma edisi ke-20 di Johor yang sepatutnya berlangsung mulai 11 hingga 19 Julai 2020 terpaksa ditunda kepada tarikh lain sama ada pada Disember depan ataupun tahun 2021.Turut terkena tempiasnya berikutan penularan wabak pandemik Covid-19 itu adalah Para Sukma.

Keputusan diambil KBS itu selepas mengambil kira aspek yang paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan para atlet, jurulatih, pegawai dan semua yang terlibat pada temasya dwitahunan itu nanti.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 1:59pm
d