arena

Skuad UKM FC akur

Oleh Mohd Amin Jalil

"SEMUA pegawai dan pemain UKM FC akan menerima gaji yang berbeza mulai April ini, selepas gaji mereka dipotong antara lima hingga 20 peratus," kata ketua jurulatih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC, Sulaiman Hussin.

Pengendali skuad itu berkata, persetujuan sudah dicapai dalam perbincangan dua hala antara pihak pengurusan dengan pemain yang diadakan sebelum ini, dan semua akur dengan keputusan yang dicapai.

"Walaupun pada peringkat awal perbincangan terdapat pemain yang tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan itu, tetapi selepas perbincangan kedua diadakan, kesemuanya akur dan berikan kerjasama.

"Pemain memahami kesukaran dialami pihak pengurusan selepas Liga Malaysia (Liga M) terpaksa ditangguhkan sejak 16 Mac lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak Covid-19.

"Tambahan pula, UKM tidak bergantung kepada dana kerajaan atau universiti, sebaliknya hanya membabitkan dana penaja dan pihak berkenaan juga turut terjejas angkara wabak pandemik ini.

"Kita kena lihat dari semua aspek, bukan saja pemain yang terkesan malah semua pihak," katanya hari ini.

Menurut Sulaiman, potongan gaji ini hanya membabitkan sepanjang PKP yang ditetapkan dan pihak pengurusan akan meneliti semula sekiranya PKP ini berakhir atau Liga M ditangguhkan sepanjang musim.

Beliau yang mewakili pemain skuad berkenaan turut berterima kasih kepada pihak pengurusan yang membayar gaji penuh sepanjang Mac lalu.

Mengenai Liga M, Sulaiman berharap ia dapat diteruskan jika keadaan wabak Covid-19 di negara ini pulih sepenuhnya.

Beliau bagaimanapun berkata, semuanya itu bergantung kepada kelulusan kerajaan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Liga Bolasepak Malaysia (MFL), bagaimana kaedah untuk melaksanakannya.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 7:03pm
d