arena

Tangguh AGM : Pesuruhjaya Sukan

Oleh Ferzalfie Fauzi

PESURUHJAYA Sukan (PPS) meminta agar semua badan induk yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2020.

Menerusi satu kenyataan, arahan berkenaan dibuat berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 April lalu.

"Ia berikutan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, agar semua mesyuarat tahunan syarikat, koperasi, persatuan dan organisasi perlu ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) nanti," menurut kenyataan PPS itu.

Semua badan sukan yang berdaftar di bawah PPS perlu mematuhi arahan PKP dan nasihat KKM yang sedang berkuatkuasa.

"Bagaimanapun, jika badan sukan masih merasakan ada keperluan penting yang tidak dapat dielakkan, mereka dicadangkan agar mesyuarat itu diadakan secara atas talian iaitu melalui sidang video atau seumpamanya tanpa membabitkan sesi pemilihan ahli jawatankuasa yang baharu.

"Perlu diingatkan tatacara pengurusan mesyuarat hendaklah mematuhi dan selaras dengan kehendak perlembagaan badan sukan.

Semua dokumentasi yang berkaitan dengan perbincangan harus ada sebagai pembuktian suatu perbincangan diadakan seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan," katanya.

Kementerian Belia dan Sukan sangat mengambil berat akan faktor kesihatan dan keselamatan yang membabitkan semua ahli-ahli badan sukan di pelbagai peringkat di seluruh negara.

"Adalah diharapkan agar kita semua terus mematuhi arahan Kerajaan untuk duduk di rumah.

"Bagi badan sukan yang sudah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada sebelum tempoh PKP dilaksanakan maka boleh menghantar laporan itu melalui atas talian atau pos.”

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 7:29pm
d