arena

Mulakan dengan kejohanan tempatan - Djokovic

Oleh AFP

NOVAK Djokovic percaya musim tenis bakal dimulakan dengan penganjuran beberapa siri kejohanan tempatan susulan pandemik koronavirus yang menyukarkan pergerakan pemain ke seluruh dunia.

Jelajah ATP dan WTA digantung bulan lalu dan tidak akan berlangsung sehingga pertengahan Julai selepas pembatalan Roland Garros dan Wimbledon.

"Saya fikir akan ada lebih banyak hadiah wang tunai di kejohanan tempatan dan ini berlaku tidak lama lagi,” kata Djokovic ketika berbual dengan Fabio Fognini menerusi Instagram awal pagi tadi.

"Saya tak tahu apa akan berlaku seterusnya ketika kuarantin. Sepanyol, Itali dan negara lain di dunia mungkin mempunyai kaedah berbeza.

"Agak sukar memulakan jelajah kerana jelajah kami berlangsung setiap minggu di negara berbeza,” katanya.

"Jadi saya fikir perlu adanya kejohanan tempatan yang menyediakan hadiah wang tunai tetapi mungkin tidak mata ranking pada masa sekarang kerana ia sangat rumit.

Pemain nombor 11 dunia dari Itali, Fognini pula berkata ‘amat sukar’ beraksi kembali musim ini.

"Anda (Djokovic) datang dari Serbia yang perintah berkurung tamat 20 Mei tetapi di Sepanyol ia tamat 25 Jun...jadi agak sukar menyertai sebarang kejohanan,” katanya.

Fognini juara Monte Carlo tahun lalu turut kurang bersetuju dengan idea beraksi tanpa penonton.

"Sukar dibayangkan final Grand Slam tanpa sesiapa menyaksikannya?" said Fognini. "Pada pendapat saya ia agak sukar (bermain di stadium tertutup) tetapi saya faham ada sebab di sebaliknya."

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 11:05am
d