arena

The Turtles tak banyak 'songeh' potong gaji

Oleh Malik Muhamad

PASUKAN Terengganu FC II (TFC II) tidak memerlukan 'masa kecederaan' dalam isu pemotongan gaji pemain dan pegawainya apabila mereka menyahut saranan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu.

Pemain dan pegawai The Turtles tidak banyak karenah apabila bersetuju melakukan pemotongan gaji mengikut gred gaji masing-masing antara lima hingga 30 peratus.

Langkah diambil skuad bimbingan bekas pertahanan kental, Roshadi Wahab dan pembantunya, Sapian Wahid harus dipuji bagi membantu kantung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) ketika negara dan dunia berdepan dengan pandemik COVID-19 walaupun berstatus 'feeder club'.

"Semua pegawai dan pemain pasukan kami sudah berbincang dan mencapai persetujuan dengan pihak pengurusan untuk melakukan pemotongan gaji mengikut gred gaji masing-masing bermula lima hingga 30 peratus.

"Syukur semuanya berjalan dengan baik tanpa ada sebarang masalah daripada mereka, gaji pengawai dan pemain akan dipotong mulai April sehinggalah berakhirnya COVID-19 ini.

"Insya-Allah kita sama-sama berdoa semoga situasi ini akan pulih seberapa segera dan kita dapat meneruskan semula saingan liga yang tertangguh sejak 16 Mac lalu," kata Roshadi.

Terdahulu Roshadi bersetuju dengan pandangan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathanyang memberi 'lampu hijau' kepada persatuan negeri dan kelab berkaitan isu pemotongan gaji jurulatih tetapi tidak boleh melampau dan perlu ada persetujuan.

"Saya setuju dengan pandangan diberikan Sathia berhubung pemotongan gaji itu. Bagi saya dengan situasi yang berlaku sekarang sangat menuntut supaya ada perbincangan yang sebaik-sebaiknya antara dua pihak pemain dan persatuan supaya perkara ini tidak menjadi berat sebelah," katanya.

Sebelum ini FAM memberikan tempoh sehingga esok buat pasukan untuk mencapai persetujuan berhubung isu pemotongan gaji itu, namun badan induk bola sepak negara itu sedia memberikan tambahan masa kepada setiap pasukan dan kelab untuk menyelesaikan dengan kaedah terbaik.

Setakat ini tiga pasukan Liga Super sudah berbuat demikian termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT), Melaka United dan Felda United manakala dua pasukan daripada Liga Perdana iaitu UKM FC dan Kuching FA.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 12:18pm
d