arena

Lee Tuck derma gaji kepada pasukan kerana Covid-19

Oleh Firdaus Hashim

ATAS rasa tanggungjawab dan rasa sayangnya kepada pasukan Terengganu FC, tonggak import dari England, Lee Tuck mempamerkan semangat luar biasa apabila sanggup memotong gajinya bagi meringankan beban kewangan pasukan susulan pandemik Covid-19.

Namun cerita di sebalik keputusannya untuk memotong gajinya dengan jumlah berkenaan lebih dirasai apabila dia dua kali berubah fikiran semata-mata demi skuad Penyu.

Ia didedahkan ejen peribadi ketua pasukan Terengganu FC itu sendiri, Effendi Jagan Abdullah apabila pemain berusia 31 tahun itu sanggup menambah tambahan pemotongan gaji biarpun pada awalnya bersetuju dengan jumlah lebih kecil.

Katanya, pengorbanan Tuck itu didorong oleh rasa kesedarannya yang ingin membantu pasukan selepas terkesan dengan penangguhan Liga Malaysia (Liga M) akibat Covid-19 sejak 16 Mac lalu.

"Pada awalnya Tuck setuju dengan pemotongan gaji selepas saya selaku ejen yang mewakilinya berbincang dengan pengurusan Terengganu FC.

"Tetapi selepas dia bangun tidur keesokan hari, dia menghubungi saya untuk tambah lagi dan menjadikan jumlah keseluruhan agak tinggi.

Dia cakap, tambahan itu atas rasa tanggungjawab untuk membantu pasukan dalam mengharungi saat sukar ketika ini.

"Dia jelas sayangkan pasukan dan sanggup berkorban kerana memahami masalah Covid-19 yang bukan saja melanda negara ini tetapi seluruh dunia," katanya.

Selain Tuck, Effendi juga adalah ejen kepada beberapa pemain import lain termasuk pemain Singapura, Faris Ramli.

"Untuk pemain bawah saya, mereka semua saya beri nasihat dan pandangan supaya kita sama-sama membantu pasukan masing-masing dengan buat pemotongan gaji.

"Syukur, semua mereka faham dan setuju untuk buat pemotongan. Gaji mereka ini saya minta kepada pengurusan untuk boleh mula memotong April ini sehingga latihan rasmi pertama pasukan dijalankan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 10:14pm
    d