arena

Shahrun jual burger, roti john

Oleh Malik Muhamad

KETIKA insan lain dapat bersama keluarga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), suasana berbeza dilalui pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) musim ini, Mohd Shahrun Nabil Abdullah yang kini lebih dua bulan terpaksa berpisah dengan insan tersayang.

Bekas kapten skuad kebangsaan itu berkata, setiap hari dia merindui gelak tawa anaknya berusia dua tahun, Muhamad Zavier Shah yang kini tinggal bersama isterinya, Syafiqah Yahya, 30 di Skudai Johor berikutan tidak dapat pulang kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.

Bagi mengubat kerinduan, Shahrun yang kini tinggal bersama ibunya, Zaharah Ismail di Kampung Tepoh, Jeram, Kuala Nerus selepas kematian bapanya tahun lalu berkata, dia kerap kali membuat panggilan video untuk berkomunikasi dengan anak sulung serta isterinya.

Shahrun berkata, bagi mengisi masa terluang di kampung terutama sepanjang bulan Ramadan, dia kini berniaga burger dan roti john yang dilakukan dengan kaedah perkhidmatan penghantaran atau pembelian terus di rumahnya bagi yang tinggal berdekatan.

"Sejak mendirikan rumah tangga pada 2016, ini adalah Ramadan kali pertama terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak, lebih memilukan sudah lama saya tidak berjumpa iaitu bermula Februari lalu kerana tugasan bersama pasukan hoki wanita Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu.

"Sepanjang tempoh PKP ini mestilah terasa amat rindu dengan isteri tersayang apatah lagi gelak tawa anak kerana berjauhan lebih-lebih lagi anak masih kecil, namun hanya doa dapat dipohon agar isteri dan anak sentiasa sihat dan dilindungi oleh Allah selalu.

"Mengenai perniagaan ini, pada Ramadan 2018, saya pernah berniaga di bazar Sri Petaling, Kuala Lumpur jika ada kelapangan atau tiada latihan, jadi ilmu yang ada ini saya manfaatkan sebaik mungkin berniaga di kampung.

"Buat masa ini saya hanya menerima dan menghantar tempahan di kawasan sekitar kampung kerana masih lagi mencari 'runner' jika mendapat permintaan yang banyak daripada orang ramai bagi menyenangkan pelanggan," katanya yang juga menumpukan tugasan membimbing pasukan hoki wanita sepanjang PKP ini.

Sepanjang 11 tahun mewakili skuad kebangsaan, Shahrun mengecapi kejayaan merangkul pingat perak dalam kejohanan Sukan Asia pada 2010 selain merangkul kejuaraan tiga tahun berturut-turut Piala TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) bermula 2015 ketika menyarung jersi THT.

Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 6:54pm
d