arena

'Arab legend' gesa tangguh liga lebih lama

Oleh Nazri Abu Bakar

PENYOKONG paling otai dalam kancah bola sepak Melaka, Razak Razi berpandangan liga Malaysia perlu ditangguhkan dalam tempoh paling maksimum susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei.

Dia yang mesra di kenali Arab legend menerusi sorakan yang paling lantang dalam kalangan penyokong menganggap saingan liga belum selamat untuk dilangsungkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, dia sebagai penyokong setia pasukan Melaka dan Liga M mengakui juga amat khuatir untuk ke stadium sekalipun pelbagai langkah keselamatan di ambil selagi situasi belum benar-benar normal.

Malah adalah sukar buatnya serta penyokong lain untuk kembali ke stadium berikutan wabak terbabit boleh berjangkit tanpa mengira usia, bangsa dan agama tambahan masih banyak negara juga kini berdepan masalah sama.

"Pada kami pastinya mahukan keselamatan menjadi keutamaan setiap kali hadir ke stadium. `Mood' penyokong juga ketika ini dilihat amat kendur berikutan bimbang dengan situasi semasa.

"Risiko amat tinggi harus dilalui jika penganjuran di teruskan," katanya.

Apapun, dia menyerahkan kebijaksanaan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) menentukan keputusan penangguhan atau pembatalan liga.

Baginya, jika aksi tanpa penyokong sudah pasti memberi kesan kepada pendapatan setiap pasukan selain penyusunan jadual juga dilihat lebih padat dengan masa yang semakin suntuk.

Arab yang memiliki suara lantang dengan bahasa Melaka ketika memberi sokongan di stadium nyata amat sinonim dengan bola sepak Melaka sejak sekian lama.

Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 8:38pm
d