arena

Saingan Liga M samar

Oleh Syazwan Msar

IMPIAN untuk melihat saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula dalam tempoh terdekat musnah apabila kerajaan tidak membenarkan sebarang pertandingan bola sepak diadakan walau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah tamat.

Hal ini bermakna, kemungkinan menyaksikan saingan Liga M bersambung sekurangnya pada Jun atau Julai depan hanyalah angan semata-mata apabila kerajaan turut akan memperkenalkan standard prosedur operasi (SOP) baharu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perlawanan bola sepak sudah tentu akan membabitkan ramai individu sekali gus berkemungkinan besar akan ada sentuhan hingga mendorong penularan wabak terbabit.

"Mengikut SOP yang dikeluarkan sebelum ini adalah berkumpulan tidak dibenarkan dan bola sepak sudah tentu tidak boleh bermain seorang saja dan kena ada pasukan.

"Maknanya atas padang saja sudah ada 22 pemain bola dan ia tidak seperti badminton dengan sebelah sana tidak bertemu dengan sebelah sini.

"Berdasarkan SOP, kita tak boleh benarkan pertandingan bola diadakan walaupun selepas PKP ditamatkan. Contohnya jika PKP tamat hari ini tentu saja ada SOP yang perlu dipatuhi nanti," katanya, dalam sidang media harian.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan bertiup kencang dikalangan 24 pasukan Liga M apabila dikhabarkan saingan liga untuk musim 2020 mungkin dibatalkan dan bermula kembali pada tahun depan.

Keputusan berat terbabit terpaksa diambil berikutan tidak mahu perlawanan Liga M menjadi kluster baru susulan pandemik Covid-19 di negara ini semakin pulih.

Menurut sumber daripada persatuan bola sepak negeri memaklumkan keputusan terbabit hanya diketahui dalam masa terdekat ini apabila pihak berkaitan iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berbincang untuk meneruskan saingan liga atau sebaliknya.

Sementara itu, Ismail berkata, perhimpunan dan berkumpul membabitkan beberapa individu tetap tidak akan dibenarkan nanti walaupun tempoh PKP tamat.

"Orang ramai tidak boleh bebas bergerak walaupun tempoh PKP sudah tamat kerana mereka perlu mengikut SOP yang akan ditetapkan nanti," katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 9:20pm
d