arena

Chelsea tidak terbabit potongan gaji

Oleh AFP

CHELSEA memaklumkan pihaknya tidak akan menyarankan potongan gaji kepada skuad utama berikutan penularan Covid-19.

Namun skuad Liga Perdana itu menambah bahawa mereka meminta pemain terus membuat sumbangan kepada badan kebajikan berikutan pandemik yang masih berlanjutan.

Dilaporkan bahawa kelab barat London itu sudah berbincang dengan pemain mereka mengenai pemotongan gaji sekitar 10 peratus untuk mengurangkan kos ketika bola sepak digantung akibat virus berkenaan.

Jumlah berkenaan bagaimanapun jelas lebih rendah berbanding cadangan 30 peratus oleh Liga Perdana kepada semua kelab.

Tetapi ia tidak menghalang skuad dari Stamford Bridge itu mengambil langkah sendiri membantu inisiatif #PlayersTogether dilancarkan oleh pemain Liga Perdana awal bulan ini yang mensasarkan untuk mengutip derma dan mengagihkannya kepada badan kebajikan yang mendapat sokongan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain.

"Kami bersyukur kerana pasukan memainkan peranan membantu kelab dengan sokongan terhadap aktiviti kemasyarakatan selain kebajikan di negara mereka dan inisiatif Pemain Bersama membantu NHS," kata kenyataan kelab itu.

Menurut kenyataan itu lagi : "Buat masa ini, skuad utama lelaki tidak akan menyumbang untuk kewangan kelab, sebaliknya ahli majlis mengarahkan pasukan memberi fokus kepada usaha membantu badan kebajikan."

The Blues juga berkata mereka tidak akan mengambil kesempatan dengan meletakkan kakitangan bukan pemain di bawah skim pengekalan pekerjaan oleh kerajaan UK untuk menjimatkan wang dengan pekerja am dan staf perlawanan kelab terbabit diberikan gaji sehingga 30 Jun.

Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 8:39am
d