arena

Red Bull Ring sedia anjur perlumbaan

Oleh Agensi

STESEN radio Austria, O3 melaporkann seperti mana yang dinyatakan oleh Grandprix247.com, bahawa pengumuman segera akan dilakukan bagi mengesahkan perlumbaan pertama Formula Satu (F1) bakal berlangsung pada 5 Julai di Red Bull Ring.

Pusingan kedua di litar yang sama pula akan diadakan seminggu kemudian iaitu pada 12 Julai.

Setakat ini saingan F1 bagi musim 2020 masih belum diadakan dengan sembilan pusingan awal dibatalkan atau ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Austria hanya menerima kesan kecil berikutan virus berkenaan berbanding negara Eropah lain sekelilingnya.

Penganjur rasmi yakin dua aksi berturut-turut akan berlangsung dengan selamat dan merasakan hanya gelombang kedua dapat menghalang perlumbaan itu daripada berlangsung.

Kira-kira 400 petugas litar, keselamatan dan lain-lain yang terbabit dalam perlumbaan berkenaan dilaporkan sudah menjalani pemeriksaan dengan kesemuanya bebas dari jangkitan virus itu.

Penonton dan media tidak dibenarkan hadir ke perlumbaan berkenaan, tatkala jumlah keseluruhan yang terbabit dalam saingan itu tidak melebihi 2,000 orang.

Aksi seterusnya selepas saingan di Austria masih menjadi tanda tanya, walaupun sebelum ini Silverstone dikatakan akan menganjurkan tiga lagi perlumbaan.

Bagaimanapun, keadaan di United Kingdom menjadi semakin parah apabila angka kematian melebihan 20,000 orang.

Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 12:05am
d