arena

Tiada jaminan aksi bola sepak di Sepanyol

Oleh AFP

MENTERI Kesihatan Sepanyol, Salvador Illa berkata adalah 'tidak bijak' untuk menjanjikan musim bola sepak kembali semula sebelum musim panas ini ketika negara mengambil langkah mencegah penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan besar kepada seluruh dunia.

"Saya tidak boleh memberitahu anda buat masa ini sama ada bola sepak profesional akan kembali semula dengan aktiviti mereka sebelum musim panas.

"Ia mungkin langkah tidak bijak dari pihak saya," katanya ketika penerangan harian membabitkan pandemik Covid-19.

Kementerian itu mengambil perhatian terhadap perancangan La Liga untuk melakukan ujian virus berkenaan kepada pemain sebelum kembali menjalani latihan dan menyambung musim tergantung sejak 12 Mac lalu sambil menyatakan memberi keutamaan kepada pemain bola sepak mungkin bertentangan dengan polisi kerajaan.

"Sebarang bentuk ujian penyakit itu harus dijalankan oleh pentadbir daerah," kata Illa.

Sebelum pemain boleh kembali ke padang mereka perlu melalui ujian pengimbas Covid-19. Mereka kemudiannya akan terus dipantau membabitkan perkara asas.

Perdana Menteri, Pedro Sanchez semalam, mengumumkan Sepanyol akan membenarkan orang ramai melakukan senaman dan bersiar-siar bermula minggu depan, ketika majlis keselamatan negara melanjutkan minggu ini sehingga 9 Mei.

Tidak seperti negara lain, sejak menjalankan perintah berkurung bermula 14 Mac lalu, Sepanyol sebelum ini tidak membenarkan sesiapapun bersiar-siar, joging atau menunggang basikal, membenarkan mereka meninggalkan rumah hanya untuk membeli makanan atau ubat, membawa anjing bersiar atau perkara membabitkan kecemasan perubatan.

Dengan lebih daripada 23,000 kematian Covid-19, Sepanyol menjadi negara ketiga tertinggi jumlah kematian di dunia selepas Amerika Syarikat dan Itali.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 8:44am
    d