arena

Tiada bantuan khusus untuk atlet Pahang

Oleh Mohd Rafi Mamat

KERAJAAN Pahang tidak menyediakan peruntukan khusus bagi membantu atlet Tok Gajah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, bantuan hanya diberikan kepada mereka yang memerlukan dari masa ke semasa.

Katanya, perbincangan yang diadakan sebelum ini memutuskan kerajaan negeri sedia memberi bantuan yang sesuai kepada atlet mengikut kesesuaian dan mereka sudah sedia maklum.

"Buat masa ini semua atlet Pahang yang beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020, atlet pembangunan dan atlet sekolah sukan menerima elaun bulanan yang disediakan kerajaan negeri disalurkan melalui Majlis Sukan Pahang (MSP).

"Justeru tidak ada alasan mereka berhadapan masalah kewangan terlalu ketara sekiranya bijak menguruskan sumber bantuan yang diterima itu, berbelanjalah secara berhemah," katanya di Kuantan hari ini.

Beliau menambah, kerajaan negeri menyediakan peruntukan kira-kira RM81,000 sebulan untuk membayar elaun atlet Sukma, atlet pembangunan dan atlet sekolah sukan.

Peruntukan untuk atlet Sukma akan bertambah berikutan penangguhan temasya berkenaan.

Mohd Johari berkata, kontinjen Pahang yang akan bersaing pada Sukma Johor 2020 pada Mac tahun depan dibarisi seramai 600 atlet, mereka akan bersaing dalam 29 daripada 31 acara yang dipertandingkan.

Katanya, walaupun tarikh penganjuran Sukma Johor masih jauh namun atlet Pahang diingatkan supaya dapat terus mengekalkan kecergasan bagi mengelak prestasi mereka jatuh merudum hingga boleh memalukan kontinjen Tok Gajah.

"Saya difahamkan oleh MSP dari masa ke semasa jurulatih setiap acara sukan akan menghantar laporan latihan yang dilakukan semua atlet sepanjang PKP, atlet turut perlu menghantar gambar latihan mereka.

"Saya berharap semua atlet dapat mengadakan latihan secara berterusan bagi mengekalkan kecergasan, gunalah peralatan sesuai ketika mengadakan latihan dan berusaha mengelak daripada berlaku kecederaan," katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 2:40pm
d