arena

Akhirnya MUSA bayar gaji

Oleh Nazri Abu Bakar

PERSATUAN Bolasepak Melaka (MUSA) akan mula membuat pembayaran tunggakan gaji bagi bulan Februari bermula esok .

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusof Mahadi berkata, tunggakan bernilai lebih RM600 ribu itu membabitkan pemain tempatan dan import.

Menurutnya, persatuan sebelum ini gagal menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan bulan Februari dan Mac.

Namun selepas perubahanan tampuk kepimpinan MUSA diambil alih Ketua Menteri (KM) , Datuk Sulaiman Md Ali, beliau memberi sinar baharu untuk menyelesaikan masalah itu.

Katanya, walaupun pandemik Covid-19 berlaku bulan lalu yang menyebabkan pendapatan pasukan terbatas, namun beliau gembira presiden akhirnya membantu menyelesaikan tunggakan Februari setakat ini.

"Usaha menyelesaikan tunggakan bagi bulan Mac pula giat dilakukan dan kita berharap ia akan berjalan dengan baik," katanya.

Sementara itu, bekas pemain Melaka dan Negeri Sembilan, Asri Ninggal yang juga pernah melatih kedua-dua pasukan itu turut mengucapkan terima kasih kepada KM dan persatuan di atas pelantikan sebagai Setiausaha Agung MUSA.

Beliau berkata, tanggungjawab berkenaan amat berat namun amanah berkenaan harus dipikul dengan penuh dedikasi untuk kemajuan persatuan dan pasukan.

Baginya, fokusnya terlebih dahulu untuk membantu usaha penyelesaian tunggakan gaji pemain.

Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 5:45pm
d