arena

Gelagat Murray meriahkan saingan maya Terbuka Madrid

Oleh Agensi

AKSI Andy Murray menarik perhatian dalam salah satu ulasan perlawanan hari pertama Madrid Open Virtual Pro, ketika Rafael Nadal memulakan langkah dengan kemenangan.

Terbuka Madrid sepatutnya diadakan di tengah bandaraya Sepanyol pada Mei namun penularan pandemik Covid-19 memaksa kejohanan tanah liat itu ditunda.

Namun 16 pemain jelajah ATP dan 16 WTA menukarkan raket dengan alat kawalan PlayStation 4 minggu ini, ketika saingan tenis digantung sehingga sekurang-kurangnya pertengahan Julai.

Saingan virtual Terbuka Madrid dijalankan sejak semalam, dengan bekas pemain nombor satu dunia dan juara grand slam tiga kali, Murray menawarkan pelbagai hiburan.

Murray memenangi perlawanan pertama dalam Kumpulan 1, mengatasi pemain Perancis, Benoit Paire dalam pertarungan sengit.

"Di mana pemain saya pergi? Di mana kamu pergi?!," kata Murray ketika perlawanan.

"Ahh, pergi ke sana! Ke sana!... Tangan saya berpeluh."

Pemain nombor dua dunia, Nadal turut memenangi perlawanan pembukaannya, mengatasi sensasi Kanada, Denis Shapovalov 4-3 [4-3].

Sementara itu, Diego Schwartzman mengesahkan dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Kumpulan 2 ke atas David Ferrer dan John Isner, manakala Stefanos Tsitsipas mengesahkan tempat di peringkat suku akhir dengan kemenangan ke atas Kei Nishikori dan Fabio Fognini.

Dalam aksi membabitkan wanita, Caroline Wozniacki – yang bersara daripada Jelajah WTA Tour selepas Terbuka Australian – melepasi dua perlawanan dalam saingan Kumpulan 3 dan mengatasi juara Kumpulan 2, Sorana Cirstea.

Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 12:36pm
d