arena

Jesus yang mulia

Oleh Agensi

GABRIEL Jesus mendermakan sebanyak tiga tan makanan kepada golongan miskin dan memerlukan di Brazil.

Bintang Manchester City berusaha untuk memastikan rakyat di negara kelahirannya tidak kebuluran ketika pandemik Covid-19.

Malah Jesus turut berkesempatan menyanyikan lagu ringkas bersama penyanyi Brazil, Belo ketika melakukan derma menerusi video yang disiarakan secara langsung di YouTube.

Penyerang skuad The Etihad turut mengimbas kenangan ketika zaman remajanya apabila dia pernah suatu masa mengalami kesusahan dan mengecat di kaki lima tanpa memakai sepatu.

Pemerhati sukan serta beberapa artis tempatan dilaporkan mengadakan konsert di kediaman mereka untuk mengumpulkan bekalan makanan dan produk kesihatan kepada orang miskin di negara Amerika Selatan itu.

Dua minggu lalu, Jesus menguruskan 400 bakul makanan untuk diagihkan ke kejiranan di Jardim Peri, di mana daerah dia membesar.

Malah dia antara beberapa pemain negara itu yang mendermakan antara £370,000 (RM2 juta) untuk membantu kira-kira 32,000 keluarga yang memerlukan.

Jesus menyertai City pada Ogos 2016, dia bergelut untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad Pep Guardiola ketika Sergio Aguero masih kekal di kelab juara Inggeris itu.

Namun Jesus baru-baru ini, mendedahkan dia mempunyai kelebihan tersendiri berbanding rakan sepasukannya itu.

Katanya : "Hari ini, Aguero akan meningkat berusia dan disebabkan itu dia mungkin tidak dapat melakukan apa yang saya lakukan tanpa bola, iaitu bertahan, memenangi perebutan bola dan membantu pasukan.

"Saya tidak tahu jika pada usia 30 tahun nanti saya mungkin dapat melakukannya atau tidak!

"Saya beraksi dalam perlawanan penting, menjaringkan gol, saya percaya prestasi saya makin meningkat dan saya mempunyai banyak lagi untuk dibuktikan. Saya rasa kualiti terbaik adalah pemikiran saya."

Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 1:45pm
d