arena

'Keadaan di Singapura terkawal' - Rizal

Oleh Aida Adilah Mat

BEKAS pelumba negara yang kini menjadi jurulatih kepada skuad berbasikal di Singapura, Rizal Tisin berharap perjalanannya untuk kembali ke Kuala Lumpur (KL) dipermudahkan.

Beliau yang mengendalikan skuad trek Singapura itu berkata, keadaan di Singapura masih lagi terkawal biarpun kes pandemik Covid-19 semakin tinggi terutama membabitkan pekerja warga asing.

Justeru untuk mengelakkan sebarang kemungkinan, Rizal yang juga pemenang pingat gangsa dalam acara 1km ujian masa di Kejohanan Dunia pada 2009 di Poland itu mengambil pendekatan memantau latihan atlet dari rumah.

"Sekarang ini latihan lebih selamat dilakukan di rumah biarpun di Singapura, kami boleh keluar untuk bersenam secara solo tapi demi keselamatan dengan keadaan yang tidak menentu ini biarlah atlet menjalani latihan di rumah saja.

"Di Singapura ini tak banyak bezanya dengan Malaysia. Atlet meneruskan latihan seperti biasa dengan menggunakan tenaga pengajar ataupun gim di rumah.

"Jika di Malaysia dipanggil PKP di Singapura ia dipanggil 'Circuit Breaker' yang akan tamat 1 Jun ini. Jika keadaan masih belum pulih kerajaan akan umumkan untuk melanjutkan tempoh berkenaan.

"Jadi saya lihat perkembangannya macam mana jika ia disambung, saya akan bekerja dari rumah saya (Malaysia)," katanya.

Berdasarkan perancang awal, Rizal dijadualkan membawa atletnya menyertai perlumbaan di Taiwan dan Jepun pada Mei dan Jun ini namun kerana pandemik Covid-19 yang masih belum menampakkan penurunan, ia terpaksa di tunda.

Atas sebab itu, beliau hanya boleh meneruskan latihan seperti biasa agar tahap kecergasan atlet tidak menurun agar mereka bersedia untuk perlumbaan seterusnya jika diumumkan nanti.

Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 10:06pm
d