arena

Dokumen berat sebelah

Oleh Syazwan Msar

RISAU pemotongan gaji terlalu tinggi, diugut kemungkinan tidak dapat pembayaran pada masa akan datang dan kelewatan menerima surat menyebabkan ada pemain Liga Malaysia (Liga M) terpaksa menandatangani perjanjian 'paksa rela' bersama pasukan masing-masing demi meneruskan kelangsungan hidup.

Malah, ada antara pemain berkenaan diberikan tempoh tidak sampai 24 jam untuk meneliti dokumen perjanjian bersama pasukan berkaitan pemotongan gaji, sekali gus ada antara mereka terpaksa bersetuju dengan terma yang ditetapkan majikan.

Situasi terbabit terjadi kepada sekurang-kurangnya empat pasukan termasuk yang berpangkalan di Lembah Klang.

Perjanjian kali pertama menyaksikan situasi lebih memihak kepada majikan manakala pemain tidak diberikan ruang untuk menyatakan hak masing-masing.

Seorang pemain sebuah pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang berkata, pasukan memanggil semua pemain sehari sebelum tarikh akhir bagi memuktamadkan mengenai perjanjian bersama iaitu pada semalam.

"Pengurusan tidak pun membincangkan mengenai nasib kami pada masa akan datang malah akan terus membuat pemotongan tanpa mengikut jumlah gaji yang diterima pemain.

"Bayangkan jika pemain bergaji dalam RM5,000 dan dipotong sehingga 40 peratus sudah tentu hanya berapa saja yang diterima berbanding dengan individu yang dibayar sehingga RM20,000.

"Pemotongan akan dilakukan secara berperingkat namun jelas maksimum tidak dinyatakan, sekali gus memberi bayangan kemungkinan kami tidak akan mendapat gaji nanti," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan hampir separuh daripada 24 pasukan Liga Malaysia (Liga M) memerlukan 'tambahan masa' bagi mencapai persetujuan bersama dengan pemain serta pegawai dalam menangani impak kewangan yang dihadapi pasukan susulan penularan pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, masa yang diperlukan itu bertujuan memastikan perbincangan mengenai kelangsungan pasukan serta kebajikan pemain dan pegawai menghasilkan satu keputusan terbaik buat kedua-dua pihak.

Tarikh akhir bagi memuktamadkan mengenai perjanjian bersama itu pada semalam dan Stuart menjelaskan FAM sentiasa bersedia untuk dirujuk sekiranya tiada sebarang penyelesaian berjaya dicapai dalam tempoh ditetapkan.

Seorang lagi pemain sebuah pasukan Liga Super berkata, pasukannya membuat perjanjian pada saat akhir supaya pemain bersetuju dengan segala terma yang ditetapkan.

Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 6:00am
d