arena

Tukar profesion penghantar barang

Oleh Mohd Rafi Mamat

BAGI menambah pendapatan pada Ramadan kali ini beberapa pemain skuad Piala Presiden Pahang tampil melakukan kerja sambilan dengan mengambil upah menghantar barangan.

Walaupun hanya menerima bayaran antara RM2 hingga RM5 bagi sekali perkhidmatan namun bagi golongan muda itu kepuasaan yang lebih diutamakan apabila dapat membantu masyarakat yang tidak dapat keluar rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini diakui penjaga gol skuad Tok Gajah Muhammad Ikmal Pakkuky yang mula menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan sekitar bandar Kuantan sejak awal Ramadan.

Menurutnya, aktiviti menghantar barangan bermula 10 hingga enam petang membabitkan perjalanan kira-kira 40 kilometer (km) sehari. Selain pelbagai jenis juadah berbuka puasa, dia turut menghantar jagung, buah mangga dan ikan patin.

Katanya, setiap hari dia menghantar barangan yang sama kepada pelanggan di kawasan taman perumahan dan kampung tradisional dengan motosikal menjadi pengangkutan utama namun ketika hujan kereta terpaksa digunakan.

"Walaupun bergelar pemain profesional namun saya tidak pernah merasa malu melakukan tugas sebagai penghantar barangan, sekurang-kurangnya ia dapat menambah pendapatan dan memenuhi masa terluang.

"Kebanyakan pelanggan tidak mengenali saya pemain pasukan bola sepak Pahang, hanya rakan dan jiran sekampung sahaja yang kenal saya sebagai budak penghantar barangan," katanya, di sini hari ini.

Dia yang mewakili skuad Piala Presiden Tok Gajah sejak dua tahun lalu berkata, setiap hari di mampu menghantar 100 bungkus jagung, ikan patin dan buah mangga yang dipesan pelanggan terus kepada peniaga terbabit.

Muhammad Ikmal berkata, pada sebelah petang dia lebih banyak membuat penghantaran juadah berbuka puasa terutama kuih yang disediakan keluarganya, kebanyakan pelanggan di kawasan rumahnya di Kampung Balok.

Tambahnya lagi, dia difahamkan terdapat beberapa rakan sepasukan turut terbabit melakukan penghantaran barangan bagi menambah pendapatan dan mengisi masa terluang.

Katanya, cabaran sebagai penghantar barangan ialah cuaca yang tidak menentu, walaupun hujan dia tetap perlu memastikan pesanan sampai ke tangan pelanggan tepat pada masanya.

"Diperingkat awal saya beberapa kali tersesat terutama di kawasan taman perumahan namun kini tidak berlaku lagi, kerjasama yang diberikan peniaga dan pelanggan juga menambahkan semangat saya untuk meneruskan tugas menghantar barangan selepas PKP nanti.

"Saya seronok menghantar barang apabila dapat bertemu dengan ramai orang pelbagai peringkat, mereka begitu menghargai khidmat yang diberikan, ucapan terima kasih sudah cukup memberi kepuasaan," katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 5:54pm
d