arena

Potong gaji pemain maksimum 30 peratus

Oleh Firdaus Hashim

KEDEGILAN sebahagian besar pemain Liga Malaysia (Liga-M) yang enggan mencapai persetujuan bersama pasukan bagi pemotongan gaji akhirnya memakan diri sendiri apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan pemotongan maksimum sebanyak 30 peratus kepada pemain.

Menerusi Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM yang baharu sudah diluluskan dan mendapat kebenaran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu kelmarin, pemotongan sebanyak 30 peratus itu akan dikenakan terhadap pemain yang meraih pendapatan RM15,000 dan ke atas sebulan.

Manakala, bagi pemain yang menerima gaji dari RM10,000 hingga RM14,999 akan dipotong sebanyak 20 peratus, diikuti RM5,000 hingga RM9,999 (15 peratus) dan RM4,999 (10 peratus).

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, penetapan itu adalah harga siling bagi membantu menyelamatkan krisis kewangan pasukan yang terkesan teruk ekoran pandemik Covid-19 ketika ini.

"Apa yang saya boleh perkatakan, hanya 50 peratus sahaja pasukan yang berjaya mencapai persetujuan pemotongan gaji bersama pemain dengan separuh lagi gagal mencapai kata sepakat.

"Oleh itu, harga siling atau garis panduan ini perlu diikuti oleh pemain dan pasukan yang tidak mencapai persetujuan selepas tamat tempoh perbincangan pada 22 April lalu," katanya pada sidang media secara persidangan video bersama pengamal media sukan hari ini.

Jelas lagi, mana-mana pasukan yang sudah mencapai persetujuan pemotongan gaji sebelum garis panduan ini dikeluarkan, tidak boleh menukar sesuka hati dan mereka wajib mengikut keputusan awal perbincangan bersama pemain sebelum ini.

"Sebagai contoh, Pasukan A yang sudah mencapai persetujuan untuk pemotongan gaji pemain dan pegawai sebanyak 10 peratus tidak boleh secara tiba-tiba mahu mengubah pula peratusannya mengikut kadar maksimum yang ditetapkan dalam garis panduan ini.

"Begitu juga pemain dan pegawai dari Pasukan B yang bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 40 peratus sebelum ini tidak boleh secara tiba-tiba mahu mengikut pula kadar peratusan maksimum seperti ditetapkan dalam garis panduan ini.

"Perjanjian yang sudah dicapai di peringkat pasukan atau kelab itu perlu diteruskan mengikut apa yang sudah pun dipersetujui secara bersama," katanya.

Mengulas mengenai tarikh bermulanya pemotongan itu, Stuart menjelaskan ia akan dikuatkuasakan bermula bulan lalu sehingga saingan Liga-M disambung semula.

Disiarkan pada: May 1, 2020 @ 6:22pm
d